Itu semua salah faham, mereka berhak diberi peluang kedua - Elly Mazlein - Utusan Malaysia

Itu semua salah faham, mereka berhak diberi peluang kedua – Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein meluahkan rasa simpati terhadap tiga rakan penyampai radio yang digantung tugas susulan isu dakwaan mempersenda tarian kavadi Hindu.

Menurut Elly atau nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, setiap manusia berhak mendapat peluang kedua memandangkan tiada siapa mampu lari daripada membuat kesilapan dalam hidup.

“Sebagai sahabat kepada mereka, saya sangat simpati dengan apa yang telah terjadi. Saya memuji keberanian mereka untuk tampil memohon maaf dengan segera.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka. Walau macam mana pun, kita semua manusia biasa, tidak sempurna dan tidak lari daripada berbuat silap. 

“Saya tahu mereka tiada niat ke arah itu (persendakan agama), ini mungkin hanya kesilapan teknikal sahaja dan salah faham.

“Terus berikan sokongan kepada tiga sahabat saya itu, banyak perkara baik yang telah mereka lakukan sebelum ini. Harap semua memaafkan mereka,”katanya.

Elly berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media dan tayangan perdana Astro Raya 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di Bandar Utama, Selangor, baru-baru ini.

Mengulas mengenai permintaan orang ramai yang mencadangkan supaya dirinya menggantikan slot tiga penyampai itu, Elly menjawab dia mempunyai kekangan masa selain jadual kerja yang padat.

“Saya mempunyai jadual yang sudah ditetapkan dan agak padat selain kekangan masa. Untuk saya mengambil slot pagi agak sukar.

“Kalau tidak saya, masih ada lagi penyampai radio hebat yang lain boleh menggantikan tempat tiga penyampai itu,”ujarnya.

Bagaimanapun, mengambil iktibar dengan insiden yang terjadi, penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu berpesan kepada diri sendiri supaya sentiasa menjaga tutur dan sensitiviti kamu lain.

“Apa yang berlaku ini juga memberi pengajaran kepada saya supaya sentiasa berhati-hati dan peka.

“Pengajaran yang boleh diambil perlu jaga sensitiviti kaum lain, perlu sentiasa profesional. Ingat bahawa kita hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan kaum,”katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan salah seorang penyampai radio didakwa meniru tarian kavadi sambil salah seorangnya menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana didakwa telah menghina tradisi kaum Hindu.

Sedar akan kesilapan yang dilakukan, tiga penyampai radio berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Susulan itu tersebut, syarikat stesen radio berkenaan, Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan mengikut 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu memuat naik kandungan jelik melampau.

Bagaimanapun, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memutuskan untuk tidak menggantung lesen stesen radio terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya