KUALA LUMPUR : Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz mengakui masih belum dapat mengenali Bella Astilah secara mendalam meskipun ramai sedang mengusik manja bahawa anaknya itu kini sedang menjalin cinta dengan penyanyi itu.
Menurut Mahani, dia hanya sempat bertemu dengan Bella selama 15 minit ketika singgah bertemu anaknya baru-baru ini yang mana kebetulan Bella juga ada di tempat yang sama.
“Masa bertemu Saddiq baru-baru ini saya hanya sempat bertemu dengan Bella selama 15 minit. Sempat bercakap sekejap saja, tak mengenali lebih mendalam.
“Kalau nak cakap pasal cantik, setiap manusia mempunyai kecantikan masing-masing. Mungkin pada anak saya, cantik dan pada orang lain tidak.
“Sama juga jika bagi orang lain anak saya tidak kacak tetapi bagi saya kacak,”katanya ketika berada dalam sesi live di Tiktok bersama Spacedollah yang juga merupakan abang kepada Syed Saddiq.
Selain itu, menjawab pertanyaan ramai berhubung kebarangkalian Saddiq berjodohan dengan Bella, Mahani menyerahkan urusan berkenaan kepada Allah.
“Ada jodoh atau tidak, saya tak boleh beri komen. Allah yang tentukan segalanya. Dunia ini seperti satu lakonan. Apabila seseorang itu sedang bercinta, dia seperti sedang berada di atas pentas, semuanya indah.
“Semuanya kepura-puraan belaka. Maka kenal- mengenalilah antara satu sama lain. Bagi saya, biarlah Allah yang menentukan segala-galanya, mudah-mudahan yang terbaik,”katanya.
Pada masa yang sama, Mahani tidak menolak bahawa setiap ibu mengharapkan jodoh terbaik buat setiap anak-anak mereka.
“Hajat seorang ibu kalau boleh apabila dia dah tiada nanti, pasangan anaknya boleh menjaga dan memberi kasih sayang. Memanglah 100 peratus seperti ibu mungkin tidak.
“Tetapi sekurang-kurangnya apabila ibu sudah tiada, dia rasa gembira sebab anaknya dipenuhi dengan kasih sayang. Jadi cari yang terbaik,”ujarnya.
Tidak cuma itu, Mahani mendoakan agar Saddiq selesai dengan kes di mahkamah terlebib dahulu sebelum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita sekali pun.
“Biarlah kes di mahkamah itu selesai dahulu. Saya risau dan dalam hati sentiasa mendoakan mudah-mudahan Allah Taala membantu Saddiq. Kita kena takut kepada Allah dan bukan kepada manusia,”nasihatnya.
Terdahulu, nama Saddiq dan Bella menjadi sebutan ramai apabila kedua-duanya dikatakan sedang menjalin hubungan istimewa sejak disatukan sebagai model pasangan romantik bagi mempromosikan busana raya di bawah jenama Primavalet.
Kedua-duanya banyak meluangkan masa bersama malah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah yang mendapat pujian rata-rata warganet.
Syed Saddiq juga pernah muncul dalam video muzik lagu nyanyian bekas isteri kepada pelakon Aliff Aziz itu yang berjudul Tapi Bukan Denganmu.