KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer terkemuka tanah air, Hael Husaini, 38, terharu dan berbangga apabila lagu ciptaannya berjudul Anta Permana menjadi pilihan kegemaran Raja Charles III.
Lagu tersebut berada dalam senarai ‘playlist’ peribadi baginda di Apple Music.
Berkongsi mengenai perkara itu, kata Hael, dia tidak menyangka hasil karya anak tempatan sepertinya mampu meraih perhatian baginda.
“Tak pernah terbayang bahawa satu daripada hasil ciptaan saya bersama Ezra Kong, dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Anta Permana terpilih dalam senarai lagu kegemaran baginda.
“Alhamdulillah, saya bangga jadi anak Malaysia,”katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Perkongsian Hael itu turut mendapat komen daripada rakan-rakan artis dan antaranya termasuk Aisha Retno, Indah Ruhaila, Syamel, Haiza, Marsha Milan, Khai Bahar dan Zaki Yamani.
Sebelum ini, Apple Music melancarkan program The King’s Music Room, yang menghimpunkan karya dari negara-negara Komanwel sebagai meraikan kepelbagaian muzik dunia.
Menariknya, nama Siti Nurhaliza turut tersenarai bersama artis antarabangsa terkenal seperti Beyoncé, Michael Bublé, dan Bob Marley.
Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham, memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi Raja Charles III.