KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad, 40, mengakui terharu apabila ramai masih mengingati lakonannya dalam sebuah iklan Ramadan beberapa tahun lalu.
Menerusi lakonan itu, Sherry mencipta populariti dengan ayat melucukan seperti ‘buah tamar’, ‘Marhaban Tiba’ dan ‘Farah dah pukul 7 ke belum?’.
Malah, kata Sherry, dia juga tidak menyangka gara-gara lakonannya itu, ada yang melabelnya sebagai ikon Ramadan, menyusul rapat dengan watak Barkoba yang popular dibawakan oleh Bell Ngasri sebelum ini.
Sherry berkata, dia berasa seronok melihat ramai yang terhibur dengan gelagatnya biarpun perkara itu sudah tular sejak beberapa tahun lalu.
“Benda itu kita tak rancang sebenarnya, bukan untuk viral, tapi lebih kepada parodi, apa yang berlaku adalah seperti gurauan manja.
“Kita sudah rekod benda itu lama, dan saya rasa benda ini tiba tiba baru viral adalah disebabkan wujudnya laman sosial.
“Kita pun tahu, di media sosial banyak perkara perkara yang menjadi trending, kemudian orang repost dan tiba-tiba dah jadi ikon,”katanya.
Selain itu,Sherry juga mendedahkan ada di antara netizen mengucapkan terima kasih kerana telah menghiburkan mereka dengan gelagat lucunya.
“Saya okey sahaja bila orang nak usik-usik tentang perkara itu, sebenanya itu adalah satu benda yang menggembirakan.
“Ada juga yang menghantar DM di IG dan ucap terima kasih kerana menghiburkan mereka setiap tahun.
“Sebagai contoh ayat marhaban tiba itu, walaupun sudah bertahun berlalu tapi bila mereka tengok kembali, tetap gelak pada benda yang sama.
“Ada yang kata terima kasih kerana menceriakan hidup mereka, jadi saya rasa terharu, sedikit sebanyak adalah benda benda baik yang saya buat kepada netizen yang menonton,”katanya.
Terdahulu, Sherry pernah tersasul menyanyikan lagu Ramadan Tiba nyanyian asal penyanyi Indonesia Opick sewaktu siaran langsung program Muzik-Muzik.
Bagaimanapun, ramai yang terhibur dengan Sherry dan sehingga hari ini momen tersebut tular setiap kali tiba ramadan.