KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga antara Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan selebriti popular itu disahkan telah bercerai talak satu pada pagi tadi.
Lafaz cerai itu telah dilakukan Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, terhadap Diana di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamaruddin.
Perkara itu sekali gus menyaksikan perceraian mereka buat kali kedua dalam tempoh 12 tahun perkahwinan.
Ketika ditemui pemberita, kedua-dua mereka kelihatan tenang dan berjalan bersama usai sesi sebutan tuntutan perceraian.
Mengulas mengenai perkara itu, Farid mengucapkan terima kasih kepada Diana kerana memberikan kerjasama.
“Dalam bulan Ramadan penuh barakah ini semuanya selesai. Terima kasih kepada Diana kerana memahami situasi,” katanya.
Turut meluahkan rasa syukur, Diana atau Diana Danielle Danny Beeson memberitahu kini mereka lebih memberi fokus kepada urusan membesarkan dua cahaya mata.
Malah dia juga tidak melihat perpisahan ini sebagai alasan untuk bermusuhan dengan Farid.
“Masing-masing boleh terus fokus kepada anak-anak selepas ini selain membina persahabatan yang baik.
“Yang penting untuk kebaikan anak-anak” ujarnya.
Selepas bertemu media mereka juga sempat berbual dan saling bersalaman antara satu sama lain.
Malah Farid turut mengucapkan selamat tinggal kepada Diana ketika bekas isterinya itu meninggalkan mahkamah.
Ini merupakan kali ledua Farid melafazkan talak satu terhadap Diana.
Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.
Bagaimanapun Diana memfailkan permohonan cerai buat kali kedua terhadap Farid pada 4 November tahun lalu.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.