SINGAPURA: Pelawak dan pengacara, Shuk Sahar menganggap dia tidak perlu mengulas panjang mengenai isu rumah tangganya dengan Fara Salleh meskipun sedar wanita berkenaan banyak membuat luahan di media sosial.
Menurut Shuk atau Mohammad Shukri bin Mohamed Sahar, 39, buat masa ini dia mahu memberi tumpuan kepada perniagaan yang sedang dijalankan di Singapura dan mengakui selebihnya menyerahkan segala yang terjadi pada Allah SWT.
“Saya tetap dengan pendirian tidak mahu berkongsi perihal rumah tangga.
“Sebab saya di Singapura memang niat nak bekerja dan serahkan segalanya kepada Allah,” katanya.
Shuk berkongsi perkara itu ketika ditemui pada karnival beli belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura, semalam.
Dalam pada itu Shuk juga tidak mahu mengulas mengenai isterinya yang sudah memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Segamat, Johor dan sedang menunggu tarikh sebutan kes.
Kata Shuk, dia hormat situasi Fara yang sedang mengandung dan enggan mengeruhkan lagi keadaan.
Pada masa yang sama, Shuk memberitahu, dia sudah tidak dapat berkomunikasi dengan Fara sejak dua minggu lalu kerana sudah disekat di seluruh platform.
“Tiada apa-apa komen fasal cerai, saya serahkan semua pada Fara sebab sekarang dia sedang mengandung.
“Saya hormat perkara itu, jadi biarlah saya mencari rezeki di Singapura.
“Saya cuba cari dia di hospital tapi nombor saya disekat di seluruh platform, jadi sekarang tak dapat nak berkomunikasi dengan dia, kali terakhir dua minggu lepas sebelum masuk bulan Ramadan” jelasnya.
Sementara itu, Shuk bersumpah dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang isteri membebankan sebaliknya rakan-rakan adalah punca rezeki.
“Saya bersumpah di bulan Ramadan ini yang saya tak pernah keluarkan kenyataan isteri beban, rakan-rakan punca rezeki.
“Malah saya tak tahu perkara itu keluar daripada mulut siapa,” ujarnya.
Sebelum ini, Fara meluahkan rasa bengang terhadap Shuk dengan mendakwa pelawak itu sebagai suami yang tidak bertanggungjawab.
Malah dakwa Fara lagi, Shuk sentiasa melebihkan rakan-rakan berbanding memikirkan keadaan dirinya yang sedang sarat mengandung.
Untuk rekod, Shuk mendirikan rumah tangga dengan Fara pada November 2023.
Shuk sebelum ini pernah berkahwin dengan
Rossa Sera namun bercerai pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 9,
dan Nur Assyifatu Aimi, 6 tahun.