Ejek tarian kavadi Hindu, Era FM mohon maaf - Utusan Malaysia

Ejek tarian kavadi Hindu, Era FM mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf atas kekhilafan mengejek rarian kavadi sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat beragama Hindu di negara ini.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat ketiga-tiga penyampai radio berkenaan menerusi akaun Instagram rasmi Era FM pada pagi tadi.

“Kami di 3 Pagi Era, saya Nabil Ahmad, Radin dan Azad ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik di laman sosial Era baru-baru ini berhubung aksi kami yang kurang menyenangkan telah pun menyinggung hati segelintir pihak dan juga sahabat-sahabat kami berbangsa India,”kata Nabil.

Selain itu, Radin yang turut memohon maaf berjanji tidak akan mengulangi lagi kesilapan ini.

“Sebenarnya kami juga mengakui kesilapan serta kekhilafan ini. Kami juga akan memastikan kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,”katanya.

Sementara itu, Azad pula berkata, ketiga-tiga mereka terbuka untuk menerima sebarang kritikan demi memperbaiki kelemahan.

“Kami sentiasa terbuka menerima sebarang komen dan kritikan untuk memperbaiki diri terutama bagi pendengar setia kami.

“Sekali lagi kami menyusun jari memohon maaf atas kesilapan tanpa sedar yang telah kami lakukan. Maaf sangat-sangat daripada kami 3 Pagi Era,”katanya.

Dalam pada itu, di ruangan kapsyen, stesen radio tersebut turut menjelaskan bahawa mereka tidak berniat menyinggung mana-mana pihak dengan menyentuh isu sensitiviti.

“Kami dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf atas kandungan kami baru-baru ini yang telah menyentuh sensitiviti ramai pihak khususnya rakan-rakan kami yang berbangsa India.

“Kami tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, dan kami amat menghormati kepercayaan serta nilai setiap individu. Kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan,”tulisnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab kakitangan ERA FM yang didakwa memperlekehkan agama Hindu menerusi satu video baru-baru ini.

Video berkenaan memaparkan individu yang meniru tarian kavadi sambil melaungkan ‘Vel Vel’ secara tidak sopan, sekali gus mencemarkan kesucian kepercayaan masyarakat Hindu di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN