SINGAPURA: Penyanyi, Ayda Jebat mengakui sukar mengikis sikap degilnya demi melangsaikan urusan kerja meskipun telah dinasihatkan doktor untuk berehat selama sebulan.
Mengalami slipped disc sejak seminggu lalu, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, pergerakannya kini terbatas selain perlu berhati-hati pada setiap masa agar keadaan kesihatannya tidak lebih mudarat.
“Doktor memang marah bila tahu saya degil dan masih lagi terus bekerja sebab dia nasihatkan berehat di katil sekurang-kurangnya sebulan. Tetapi nak buat macam mana komitmen kerja yang ada perlu diselesaikan juga.
“Saya akui, keluar sahaja hospital baru-baru ini, saya terus kerja, ada penggambaran termasuk datang ke Singapura ini untuk sertai Celebfest.
“Saya rasa itu satu tanggungjawab. Cuma saya perlu sangat berhati-hati dalam setiap pergerakan, jalan pun kena perlahan-lahan selain makan ubat yang doktor berikan.
“Insya-Allah selepas tamat karnival Celebfest ini saya akan rehat sekejap sehari dua,”katanya.
Ayda berkata demikian semasa ditemui di karnival beli belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura, semalam.
Selain itu,penyanyi lagu Nakal dan Temberang ini berkata, dia juga dinasihatkan doktor untuk menjalani rutin senaman dan pengambilan ubatan yang telah ditetap secara berkala sebagai antara rawatan.
“Semasa saya buat pemeriksaan dan fisioterapi baru-baru ini, doktor hairan kenapa bengkak pada bahagian belakang saya itu tidak surut-surut. Dia tanya sama ada saya buat kerja dan saya jawab ya.
“Doktor marah jugalah sebab dia suruh saya berehat, tetapi dia ada beritahu juga cara kerja bagi pesakit slipped disc. Apa yang perlu saya lakukan adalah buat rutin senaman dan makan ubat,”ujarnya.
Dalam pada itu, Ayda mengakui tidak pasti apakah punca jelas yang menyebabkan dia diuji dengan masalah kesihatan itu.
“Kalau orang tanya macam mana terjadi, tak pasti apa puncanya. Ketika kejadian, saya hanya nak letakkan kasut anak di bawah selepas itu bila nak bangun tiba-tiba bunyi ‘pop’.
“Saya menjerit kesakitan sebab terbayang tulang patah. Saya juga tak boleh nak berdiri tegak. Suami saya pun terkejut tengok keadaan saya dan terus bawa ke hospital,”katanya.
Pada 1 Mac lalu, Ayda memaklumkan telah menerima rawatan di sebuah pusat perubatan selepas mengalami slipped disc ringan. – UTUSAN