Dikritik badan berisi, Alya Iman pilih jaga kesihatan mental - Utusan Malaysia

Dikritik badan berisi, Alya Iman pilih jaga kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Alya Iman, memilih untuk enggan melayan atau ambil peduli perkara yang boleh memberi tekanan dalam dirinya supaya kesihatan mentalnya terjaga.

Menurut Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, tindakan itu termasuk teguran ramai mengenai bentuk tubuhnya yang semakin berisi ketika ini.

“Tahun ini ramai yang kecam saya sebab berat badan saya bertambah dan saya nampak berisi. Malah saya turut ditegur pengarah yang perasan saya semakin gemuk.

“Sebagai artis, saya sedar saya kena jaga penampilan kerana kita umpama satu karya seni yang ingin ditunjukkan kepada masyarakat. Tapi pada masa sama, saya selalu cakap yang saya juga manusia biasa.

“Saya kena jaga kesihatan mental saya terlebih dahulu barulah saya jaga yang lain,” katanya.

Alya berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra dan berbuka puasa Stars Powerhouse Entertainment di sebuah hotel, di sini, semalam.

Akui Alya, berat badannya ketika ini mencecah 66 kilogram (kg) melebihi beratnya sebelum ini iaitu 60 kg.

Tidak cuma itu, pelakon drama bersiri Jadikan Aku Bidadari ini berkata, pengalaman berdepan kemurungan tahun lalu turut mengajar dirinya untuk utamakan kesihatan mental berbanding perkara lain.

“Tahun lepas saya tidak seperti diri saya sendiri akibat mengalami tekanan dan kemurungan.Keadaan ini berlaku disebabkan kawan baik saya meninggal dunia.

“Saya juga tak mahu keluar rumah dan tak keluar bekerja selama lima bulan. Justeru tahun ini saya nak jenamakan semula diri ini dan hanya nak gembirakan diri sahaja.

“Kalau sebelum ini saya akan ambil berat jika ada perkara negatif berlaku pada diri sendiri dan orang sekeliling, tapi tahun ini saya akan buat tak tahu dan tak akan masuk campur sebab tak mahu serabutkan fikiran,” jelasnya lagi.

Selain itu, anak kepada pelakon senior, Allahyarham Azmil Mustapha ini mengakui dia kini lebih menghargai diri sendiri dan kehidupan.

“Mungkin kedengaran seperti pentingkan diri sendiri, namun pada pada pertengahan usia 20-an ini, saya mula belajar untuk lebih menyayangi diri sendiri.

“Dulu saya mungkin kurang matang. Bila ada yang tegur saya semakin gemuk, saya akan berasa hati dan mula amalkan diet ekstrim.

“Memanglah berjaya kuruskan badan tapi benda kalau dipaksa memang tak seronok. Sekarang ini saya lebih mendengar apa yang tubuh saya mahukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya