Bukan isteri DJ Kidd, saya masih single - Emma Maembong - Utusan Malaysia

Bukan isteri DJ Kidd, saya masih single – Emma Maembong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Emma Maembong, 33, menafikan dirinya sudah berkahwin dengan individu yang dikenali sebagai DJ Kidd yang sebelum ini telah mencetuskan tanda-tanda warganet.

Menurut Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, meskipun telah berstatus ibu tunggal setelah berpisah dengan bekas suaminya tahun lalu, perkahwinan bagaimanapun bukan pilihannya sekarang.

Emma juga menegaskan, hubungannya dengan DJ Kidd juga sekadar kenalan pada waktu ini.

“Lagi saya diam dan lari ada pula yang ingat saya dah kahwin. Sebenarnya saya belum berkahwin dan masih solo.

“Bila tahu pasal gosip saya dah berumah tangga ni pun, terus-terang mulanya saya tak nak layan sampai isu ini hilang sendiri.

“Rupanya, gosip itu masih datang sehingga ada yang ingat saya isteri orang,” katanya.

Emma berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi fotografi dan majlis berbuka puasa Star Powerhouse di Hotel St Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada petang tadi.

Dalam pada itu, akui Emma, dia dengan deejay itu sama sekali tidak pernah bercinta lantaran enggan hidup dalam kehidupan yang negatif.

“Ya saya memang berkenalan dengan dia, kami cuma berkawan dan tidak pernah bercinta.

“Dia seorang pembantu peribadi kepada kenalan saya di set penggambaran, saya bukan kenal dia sebagai deejay pada awalnya.

“Walaupun kami tidak bercinta, tetapi saya dengannya masih berhubung sebagai kawan kerana saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa,”katanya

Dalam pada itu, Emma turut menyangkal dakwaan DJ Kidd adalah punca dia bercerai dengan bekas suami iaitu Muhammad Shazli Azhar tahun lalu.

Jelas Emma, penceraian mereka tidak berpunca daripada mana-mana orang ketiga selain enggan lagi membuka cerita lama tentang perkara itu.

“Tidak, tiada siapa yang menjadi punca saya bercerai dengan bekas suami.

“Bagi saya buku yang sudah ditutup kenapa nak kena buka balik? Saya selalu kata apa-apa yang jahat salahkan sahaja saya dan bukan orang di sekeliling saya,” ujarnya.

Sebelum ini, timbul gosip mengatakan Emma sudah berkahwin dengan seorang deejay dikenali sebagai DJ Kidd.

Malah Emma dan lelaki berkenaan turut didakwa bercuti bersama di luar negara berdasarkan gambar tular di media sosial.

Pada Oktober tahun lalu, Emma mendedahkan dia dan suami iaitu Muhammad Shazli Azhar sudah pun bercerai secara baik.

Untuk rekod, Emma mendirikan rumah tangga dengan Shazli pada 20 Februari 2020.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN