JAKARTA – Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Bernadya, secara rasmi mengumumkan konsert jelajahnya, Untungnya, Untungnya Malaysia Tour 2025.
Malaysia merupakan destinasi pertama yang diumumkan, dengan dua lokasi iaitu Zepp, Kuala Lumpur pada 13 Julai 2025 dan KDAC Hall, Kota Kinabalu pada 19 Julai 2025.
“Saya mahu menjadikan Untungnya, Untungnya sebagai satu perayaan untuk menghargai keberuntungan-keberuntungan kecil dalam hidup yang sering kita abaikan. Saya juga ingin mengajak peminat, Bersenadya, untuk menikmati persembahan saya dengan set lengkap yang merangkumi lagu-lagu dari mini album dan album pertama saya,” katanya.
Beliau turut menyeru peminatnya untuk hadir dengan berpakaian cerah sebagai simbolik bahawa mereka kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih positif.
“Kita akan meraikan bersama-sama, datang dan pulang dengan hati yang gembira,” tambahnya dengan penuh semangat.
JUNI Concert yang sebelum ini pernah membawa Bernadya ke Malaysia menerusi Tur Berjalan, menjangkakan sambutan yang lebih meriah kali ini.
“Kami teruja untuk kembali ke Malaysia dan kali ini memilih lokasi yang lebih besar bagi menampung peminat yang semakin bertambah,” kata Adryanto Pratono dari JUNI Concert.
Sementara itu, Fuad Simim dari Sembang Kari Entertainment menzahirkan kebanggaannya kerana dapat membawa Bernadya ke Sabah buat pertama kali.
“Kami percaya konsert ini akan menjadi pengalaman luar biasa dengan produksi yang intim tetapi tetap megah, serta kejutan khas yang hanya boleh dinikmati secara langsung di pentas. Kami juga berharap ini akan membuka lebih banyak peluang konsert besar di Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Lebih menarik, konsert Untungnya, Untungnya Malaysia Tour 2025 turut menampilkan penyanyi Adrian Khalif, yang akan berkolaborasi bersama Bernadya dalam lagu Asumsi serta mempersembahkan set khas sempena jelajah ini.
Tiket konsert akan mula dijual pada 15 Mac 2025 di laman web rasmi, www.myticketempire.com. Peminat juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalui Instagram rasmi @juni_concert dan @bernadyaribka.