KUALA LUMPUR : Kurang senang dengan tindakan warganet yang mempersoalkan dirinya yang hamil pada jarak dekat, isteri pelakon, Fizo Omar, Fazeera Nazri, melontar teguran tegas di media sosial.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Fazeera menyifatkan Allah telah mengurniakannya amanah zuriat dan mustahil baginya untuk menolak rezeki tersebut.
“Berdosakah saya yang sudah bersuami ini mengandung? Kalau rezeki, takkan saya nak tolak.
“Saya percaya, setiap cahaya mata ada lorong rezeki yang tak berpenghujung,” katanya.
Selain itu, menerusi hantaran sama, Fazeera turut memuat naik tangkap layar memaparkan mesej individu terbabit yang berkongsi pandangan mengenai hamil jarak dekat.
“Jaga diri awak, ini bukan soal rezeki tapi badan mahu pakai lama. Saya pernah mengandung jarak dekat.
“Masa bersalin kena tumpah darah sebab tak jaga penjarakan, itu pandangan saya lah,” tulis individu tersebut.
Tidak cuma itu, Fazeera turut menegur sikap segelintir kaum hawa yang baginya seakan mahu menjatuhkan martabat wanita lain.
“Saya rasa tak perlu kot wanita sesama wanita ini ‘down’ kan wanita lain.
“Sikit-sikit cakap ‘nanti stress cakap anak ramai’, ‘ada pembantu rumah senang lah’, ‘badan mahu pakai lama lah’, ‘mengandung lagi?’, ‘suami tak kasohan pada isteri ke?’.
“Walaupun kalian di luar sana melalui beberapa kepayahan dalam kehamilan, tak perlu tarik orang lain atau cerita benda itu kepada orang lain,”ujarnya.
Februari lalu, Fizo memaklumkan isterinya kini sedang berbadan dua dan bakal melahirkan cahaya mata ketiga mereka.
Fizo dan Fazeera berkahwin pada 21 Oktober 2021 dan mereka sudah memiliki dua anak perempuan iaitu Wan Khaleeda dan Wan Umaira.
Fizo sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mawar Karim namun bercerai talak satu pada 10 Julai 2019.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam.