KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ieda Zikir, tidak menolak sejak pemergian suami tercinta, Majed Salleh, dua tahun lepas, sambutan hari rayanya tidak lagi sama seperti dahulu.
Menurut kakak kepada penyanyi Shiha Zikir ini, memori menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama arwah suami sentiasa tersemat kemas di minda kerana saban tahun rutin mereka sekeluarga berbeza.
Kata Ieda, arwah suaminya seorang yang lelaki yang sentiasa berusaha mahu menggembirakan keluarga dan antara aktiviti yang mereka sering lakukan ialah berkunjung ke bazar raya untuk menikmati suasana dan kemeriahannya.
“Kenangan dengan arwah paling saya rindu bila dia selalu bawa satu keluarga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur untuk rasa suasana malam raya.
“Meskipun dia tak larat nak berjalan atau penat layan peminat, tetapi dia sanggup pergi nak rasa kemeriahan. Nak harapkan saya memang tidaklah, sesak.
“Kadang-kadang dia bawa ronda kampung yang pasang pelita. Di KL pula susah jumpa suasana beraya di kampung,” katanya.
Menurut Ieda, selepas pemergian kehilangan suami, dia berusaha menggalas tanggungjawab Majed sebagai ketua keluarga dan berusaha mencari cara supaya anak-anak dapat menikmati suasana raya.
“Apa yang paling saya rasa nak buat adalah gembirakan anak-anak sebab arwah jenis biar dia tak pakai baru tak mengapa, janji anak-anak rasa.
“Saya paling berusaha nak anak-anak tak rasa kekosongan, mahu mereka rasa suasana raya.
“Apa-apa pun saya kena kuat untuk keluarga. Shiha pun selalu ambil tahu fasal saya kerana tidak mahu saya rasa kekurangan atau kosong walaupun dia sibuk,” jelasnya.
Bagaimanapun, Ieda bersyukur dikurniakan keluarga yang sentiasa mengambil berat hal anak-anak terutama sekali Shiha yang sering membantu dalam apa cara sekalipun.
“Bersyukur saya ada keluarga yang jadi tulang belakang. Shiha akan marah kalau saya tidak beritahu masalah saya.
“Saya adalah balu yang tak bekerja sebab arwah tidak bagi kerana mahu saya jaga anak-anak walaupun ketika itu saya aktif menyanyi dan kerja di belakang tabir.
“Selepas pemergian dia, saya agak ‘struggle’ tetapi bernasib baik ada keluarga yang sentiasa membantu saya,” katanya.
Pengarah dan pelakon, Majed Salleh, dilaporkan meninggalkan dunia pada 5 Oktober 2023 akibat masalah jantung.