KUALA LUMPUR : Isteri kepada pelawak dan penyampai radio, Nabil Ahmad, iaitu Nazirah Ayub, meluahkan kesetiaan dan sokongannya terhadap suami di sebalik kontroversi yang sedang hangat diperkatakan kini.
Menurut Nazirah, dia berharap suaminya itu terus kuat dalam menghadapi rintangan dan menganggap segala yang berlaku adalah satu peringatan daripada Allah SWT.
“Dad jangan risau, semuanya akan baik-baik saja. Anggaplah ini sebagai peringatan bahawa Allah mahu kita sentiasa mengingati-Nya, sama ada dalam kesenangan atau kesusahan.
“Kami sentiasa ada untuk menyokong dan menyayangi awak,”katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Selain itu, Nazirah juga menyifatkan Nabil sebagai seorang ayah yang penyayang dan berwibawa dalam mengemudi keluarganya.
“Awak seorang yang penyayang, prihatin, dan berwibawa sebagai seorang bapa. Saya akan sentiasa menjadi peminat setia awak.
“Mereka mungkin berkata perkara buruk tentang awak, tetapi saya lebih mengenali awak berbanding mereka,”katanya.
Luahan Nazirah itu turut mendapat sokongan daripada pengikutnya di media sosial termasuk rakan-rakan artis.
Antaranya termasuk bekas penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah.
“Semua orang sayang awak (Nabil). Insya-Allah, selalu merendah diri seperti biasa. Masing-masing ada ujian memasing. Kami doakan semoga dilindungi Allah, begitu juga dengan Pak Azad, Radin dan semua,”katanya.
Dalam pada itu, di ruangan komen, pengikut Nazirah juga memberi kata-kata semangat buat Nabil dan keluarganya.
Terdahulu, tular video memaparkan Azad yang dipercayai meniru tarian kavadi sambil Nabil Ahmad menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana didakwa telah menghina tradisi kaum Hindu.
Sedar akan kesilapan yang dilakukan, Azad, Nabil dan juga Radin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Bagaimanapun, terbaharu, ketiga-tiga mereka dilaporkan telah digantung tugas oleh stesen radio berkenaan sehingga siasatan polis selesai.