KUALA LUMPUR : Pelakon, Linda Hashim, 41, mendedahkan, anak sulungnya, Jelita Clarissa,11, sebelum ini pernah bertanya mengenai status permohonan cerainya dengan suami yang juga pelakon, Beego.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim berkata, anak-anaknya mengetahui apa yang terjadi antaranya dengan Beego dan mahu melihat dirinya sebagai ibu mampu meraih kebahagiaan sendiri.
“Anak saya yang sulung, Jelita ada tanya bila saya nak bercerai? Saya tak cakap apa-apa dengannya tetapi mungkin ada kawan-kawan dia ada beritahu yang saya pergi ke mahkamah melalui berita.
“Mungkin juga kawan-kawannya tahu dia anak siapa dan turut bertanya kepadanya. Saya minta maaf dan katakan yang saya ada masalah.
“Tetapi dia menyokong dan tiada halangan. Dia cakap tak mengapa mummy, it’s okay. Buat sahaja yang terbaik sebab Jelita nak mummy happy. Janji mummy happy,” katanya sambil bergenang air mata.
Linda berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Selain itu, Linda mengakui tidak pernah menyembunyikan apa-apa kepada anak-anaknya terutama berhubung masalah rumah tangga kerana mereka juga menjadi saksi segala yang telah berlaku.
“Saya tak pernah ambil masa untuk beritahu anak-anak sebab mereka tahu apa yang terjadi. Segala yang berlaku semuanya depan anak-anak,”ujarnya.
Sementara itu, ditanya bagaimana dia mendapat kekuatan untuk menempuh ujian rumah tangga ini, kata Linda, segalanya dikumpulkan selama 12 tahun menempuh hidup bersama Beego.
“Saya dapat kekuatan ini semua dari segala pengalaman saya dan daripada 12 tahun hidup berumah tangga. Lagi banyak saya diduga, saya jadi lagi kuat.
“Jadi kekuatan itu datang daripada situ, bukan daripada sesiapa. Saya tak bergantung kepada sesiapa, hanya kepasa Allah.
“Alhamdulillah, Allah yang beri kekuatan itu selama ini,”ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada benar dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Linda enggan mengulas panjang.
“Saya tak nak komen. Boleh tanya pada Beego,”katanya.