KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer meningkat naik, Razak A’ai meluahkan rasa teruja selepas hasratnya untuk menghasilkan sebuah lagu raya tercapai.
Menurut Razak, ia terbukti menerusi penghasilan lagu raya terbitan Todak Fusion yang berjudul Ala Joget Raya.
Jelas Razak, menerusi lagu raya tersebut, dia menyimpan hasrat untuk mengembalikan nostalgia lagu raya zaman dahulu dan berbangga karya itu dapat direalisasikan bersama Khaleesi dan Mortal Rhyme yang mana lagu itu menggabungkan elemen muzik tradisional Melayu dengan irama moden.
Baginya,dia bukan sahaja mahu menyediakan hiburan semata namun dalam masa yang sama mahu memelihara dan mengangkat semula warisan muzik tempatan.
“Ketika menghasilkan lagu ini saya terfikir macam mana nak menggabungkan dua elemen tersebut.
“Jadi saya memutuskan untuk meletak perkataan ‘ala’ dalam lagu tersebut serta elemen rap.
“Ini kerana saya mahu mengangkat semula warisan muzik tempatan seperti irama joget dan sebagainya,”katanya.
Razak berkongsi perkara tersebut ketika majlis pelancaran muzik video ‘Ala Joget Raya’ di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, penerbit Todak Fusion iaitu Ikmal Fareeq bersetuju dengan idea yang dicetus Razak kerana beranggapan industri muzik tempatan kini semakin kehilangan sentuhan seni muzik tradisional.
Ujar Ikhmal, adalah satu keperluan untuk generasi masa kini mengembalikan semula lagu-lagu berunsurkan etnik agar ia tidak dilupakan.
“Kami sudah lama ingin menghasilkan sebuah lagu raya yang menampilkan elemen budaya tradisional. Saya berbincang dengan Razak kerana dia ada kemahiran dalam muzik etnik.
“Kami ingin membawa kembali keaslian lagu raya yang semakin pudar dengan elemen moden. Kami gabungkan ia tetapi masih mengekalkan identiti asal,”katanya.
Berkongsi lanjut, Ikhmal mendedahkan Razak memainkan satu peranan penting dalam penghasilan lagu ‘Ala Joget Raya’ ini.
Selain meletakkan elemen moden dan tradisional dalam lagu, Razak juga berhasil menggabungkan pelbagai alat muzik tradisional dan moden menampilkan seni tarian klasik Melayu dalam muzik video.
“Razak sangat membantu dalam membentuk melodi dan lirik lagu ini supaya ia menghidupkan kembali ingatan terhadap budaya kita. Kami mahu memastikan muzik tradisional terus dihargai.
“Lagu ini turut membawa konsep keseronokan berjoget dalam muzik kontemporari, seperti yang dipaparkan dalam muzik videonya yang penuh warna-warni dan meriah,”katanya.
Sekadar info, ‘Ala Joget Raya’ menampilkan Razak A’ai, Khaleesi dan Mortal Rhyme sebagai penyanyi utama manakala elemen muziknya diperkayakan dengan gabungan alat muzik tradisional seperti akordion, rebana dan biola.