KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu tanah air yang penuh pengalaman, Rosmah S. Sengari @ Basar, atau lebih mesra disapa sebagai Soma, melancarkan lagu dan video muzik (MV) terbaharunya, ‘Aku Tetap Raya’.
Pelancaran ini diadakan dalam satu majlis iftar eksklusif bersama media di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Lagu ‘Aku Tetap Raya’ ini merupakan ciptaan bersama Belle Fattah, Adinda Amiro, dan Soma sendiri.
Dengan diiringi melodi yang ceria dan lirik yang menggambarkan semangat Syawal, lagu ini diharap dapat membawa keceriaan kepada peminat muzik tempatan sepanjang musim perayaan ini.
MV ‘Aku Tetap Raya’ diserikan lagi dengan penampilan istimewa daripada penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, bersama model terkenal Zahnita, yang kembali aktif dalam industri seni.
Kehadiran dua figura ini menambah daya tarikan kepada MV yang dijangka mendapat sambutan hangat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada media yang sentiasa menyokong saya sejak pelancaran album pertama saya, ‘Perjalanan’. Saya harap lagu ini dapat memeriahkan sambutan Aidilfitri semua,” ujar Soma dengan penuh rasa syukur terhadap sokongan yang diberikan kepadanya.
Menurutnya, album sulungnya ‘Perjalanan’ yang mengandungi lima lagu, termasuk tiga karya istimewa ciptaan komposer tersohor, Allahyarham S. Atan, telah mendapat sambutan positif, sekali gus membuktikan penerimaan bakatnya dalam industri muzik tanah air.
Dengan pelancaran lagu ‘Aku Tetap Raya’, Soma berharap lagu ini dapat menyemarakkan semangat Aidilfitri serta menjadi pilihan utama sepanjang musim perayaan.
Mulai 14 Mac ini, peminat boleh mendengar lagu ‘Aku Tetap Raya’ di pelbagai platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music, seiring dengan pelancaran MV rasminya untuk tontonan umum.