Aksi mesra, Jackson Wang ibarat adik saya sahaja- Rossa - Utusan Malaysia

Aksi mesra, Jackson Wang ibarat adik saya sahaja- Rossa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi terkemuka Indonesia, Datuk Seri Rossa, mengakui hubungannya dengan bintang Korea Selatan, Jackson Wang hanyalah sebatas rakan penyanyi.

Malah, kata Rossa, tidak keterlaluan juga jika dia mengandaikan Jackson umpama adik kerana jarak usia penyanyi itu yang lebih muda.

Bagaimanapun, Rossa juga sedar perkara itu menjadi tanda tanya ramai setelah dia dan Jackson mempamerkan aksi berlebihan ketika membuat persembahan di program Indonesia Idol baru-baru ini.

“Apa yang dipersembahkan atas pentas hanya sebahagian daripada lakonan sahaja, ibaratnya sedang berlakon dalam sebuah filem. Gaya dan tarian yang dibuat mengikut rentak muzik.

“Ada beberapa pergerakan yang kami sudah rancang lebih awal. Tetapi, banyak juga pergerakan dan aksi spontan.

“Saya tidak berlebihan dan apa yang dipersembahkan hanya sebatas kawan atau mungkin ibarat seorang kakak dan adik sedang bernyanyi bersama.

“Itu hanya untuk penghayatan ketika melakukan persembahan dan mustahil kami menyanyi berasingan. Jika ada yang kata saya berlebihan, pasti dia yang mahukan sebenarnya,” katanya.

Rossa berkata demikian ketika ditemui di majlis Iftar Bersama Rossa anjuran Yayasan Prihatin Nasional yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Selain itu, penyanyi lagu Pudar dan Hati Yang Kau Sakiti ini berkata, ini bukan kali dia pertama berduet dengan bintang luar negara terutama Korea Selatan dan aksi sedemikian sudah terbiasa dilihat oleh masyarakat Indonesia.

“Kalau di Indonesia, mereka sudah terbiasa melihat saya menyanyi sebegitu. Kebetulan kawan-kawan saya dari Korea Selatan juga ramai.

“Jadi setiap kali mereka ini datang ke Indonesia sudah pasti mereka akan mencari saya. Di sana (Indonesia) saya sudah dianggap seperti duta persahabatan,”katanya.

Dalam pada itu, Rossa turut memuji peribadi Jackson yang handal dalam tarian dan nyanyian.

“Jackson seorang penyanyi yang sangat ‘energetic’, dia juga penari yang sangat bagus dan sangat terkenal. Jadi apabila diajak berduet dan menyanyi bersama, saya terbuka,”katanya.

Terdahulu, Rossa dan Jackson selaku juri jemputan membuat persembahan di program Indonesia Idol menerusi lagu Tega.

Bagaimanapun beberapa aksi mesra seperti merangkul pinggang dan berpegang tangan mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.

Dalam perkembangan terkini, Rossa akan mengadakan konsert berskala besar iaitu ‘Here I Am’ yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.

Lebih teruja, konsert itu turut mengundang penyanyi terkenal Indonesia, Ariel Noah dan beberapa penyanyi tempatan seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya