KUALA LUMPUR : Pengacara dan personaliti kecergasan, Zawen Anwar mengakui kini lebih selesa meletakkan fokus terhadap kerjayanya sebagai pengurus pemasaran berbanding aktif dalam dunia seni hiburan.
Bagaimanapun, kata Zawen yang juga bekas juara Pencarian Hero Remaja 2004 in, dia masih menerima tawaran untuk menjadi pengacara.
Namun segala tawaran itu terpaksa ditolak secara baik demi mengutamakan tugas hakiki disamping aktif dalam bidang kecergasan serta membantu ibu mertuanya meniaga di restoran.
“Selepas tamat Hero Remaja, saya pernah mencuba berlakon tetapi saya merasakan kerjaya sebagai aktor tak sesuai untuk saya. Saya pernah bergelar pengacara dan aktif dalam bidang kecergasan. Sehingga kini, saya masih mendapat tawaran pengacaraan dan akan memenuhinya jika berkelapangan.
“Kini, saya menumpukan perhatian terhadap kerjaya sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat.
“Saya turut membahagikan masa dalam bidang kecergasan dan aktif dalam sukan kickboxing serta muay thai dan mendapatkan tauliah sebagai jurulatih. Pada waktu malam dan setiap kali ada waktu senggang, saya membantu keluarga di restoran,” katanya.
Zawen ditemui di preview berbuka puasa Sinar Ramadan 2025 di Restoran I-Dahlia Corner, Jalan Persiaran Stonor, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah peserta program Fear Factor Selebriti 2012 ini, dia kini juga banyak membantu ibu mentuanya, Dahlia Aliruddin menjalankan bisnes dan mengakui seronok dapat membahagikan masa di restoran untuk berjumpa dengan pelanggan setiap hari.
“Walaupun saya sering sibuk, saya seronok dapat membantu ibu mertua di restoran. Setiap hari, kita dapat jumpa ramai orang yang datang singgah menjamu selera,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dahlia Aliruddin selaku pemilik Restoran I-Dahlia Corner teruja berkongsi tawaran menarik sempena kehadiran Ramadan.
Restoran yang berkonsepkan alam taman bunga menawarkan sehingga 50 menu setiap hari berasaskan juadah tradisional dan pastinya hidangan signature seperti Sup Tulang Meletops, Rendang Minang Dahlia Meletops dan Masak Lemak Siput Sedut Meletops menjadi juadah istimewa mereka bermula 2 Mac hingga 29 Mac.
“Rempah ratus yang digunakan berasaskan bahan-bahan segar seperti serai, kunyit hidup, lengkuas, halia dan pelbagai lagi. Saya akan memastikan bahan-bahan mentah yang digunakan memenuhi kehendak dan memastikan proses masakan mengikut standard yang ditetapkan,” katanya yang menawarkan buffet dengan harga RM59+ (dewasa) dan RM39 ( 7 tahun – 12 tahun / warga emas / OKU ).
Tempahan awal adalah dialu-alukan bagi memastikan kelancaran tempat duduk dan sebarang booking boleh dibuat melalui no telefon 012-3526397, 017-9913907 atau 03-67367641.