Ya Allah janganlah tarik nyawa aku sekarang - Zamarul Hisham - Utusan Malaysia

Ya Allah janganlah tarik nyawa aku sekarang – Zamarul Hisham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zamarul Hisham, 54, mengakui hanya terbayang akan kematian ketika berada di dalam ambulan sepanjang perjalanan menuju ke hospital gara-gara mengalami sesak nafas.

Menurut Zamarul, kejadian itu baginya menakutkan apa lagi dia turut ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi selama lapan hari bagi mendapatkan rawatan.

“Waktu saya diusung ke hospital saya cakap, ‘Ya Allah janganlah tarik nyawa aku sekarang sebab banyak yang aku tak sedia lagi’.

“Saya dah mula terbayangkan anak di hotel, tak akanlah nak tinggalkan mereka di sini? Sampaikan saya menangis, tetapi tahu saya kena kuat.

“Saya berdoa, ‘Ya Allah jika kau berikan sakit ini sebagai tanda untuk aku jadi lebih baik, aku reda tapi berilah aku peluang untuk tengok anak-anak aku membesar,” katanya ketika ditemubual di program Melodi, malam tadi.

Menurut bapa kepada lima anak itu, ketika insiden hampir rebah di set penggambaran sebuah drama di Port Dickson pada 6 Februari lalu tekanan darahnya naik mendadak.

Mengakui dirinya tidak pernah melalui situasi sedemikian, Zamarul juga semakin berhati-hati kini.

“Memang betul, masa kejadian tekanan darah saya naik sampai 200 lebih dan perkara itu sememangnya tak pernah berlaku kepada saya.

“Sebagai artis, kita tak lari daripada buat silap, leka dan lalai. Jadi saya nak jadi lebih baik dari yang sebelum ini,” ujarnya.

Pada masa sama dia bersyukur dikurniakan isteri, Diana Rafar yang kuat semangat sepanjang melalui situasi sukar itu.

“Saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang sangat bertungkus-lumus menjaga saya ketika sakit.

“Sewaktu dalam ICU apabila saya tengok wajah dia, ‘Adakah ini kali terakhir aku akan berjumpa dengan isteri aku ini?’ katanya.

Dalam pada itu, Zamarul turut menyifatkan sakit yang menyerang secara tiba-tiba itu sebagai teguran Allah.

“Ramai yang tanya apa yang saya rasa? Saya rasakan ini adalah teguran. Tahun ini saya jalani umrah dan apabila balik saya rasakan banyak perubahan dalam hidup.

“Kemudian saya pergi umrah kali kedua dan balik saja, saya rasa macam tak cukup. Setiap kali solat, saya minta Allah berikan saya hidayah jadikan saya lebih baik sebab umur pun dah masuk 50.

“Alhamdulillah kemudian rezeki datang mencurah-curah dan dari situ mungkin saya diduga. Apa yang saya ada, Tuhan bagi tapi kau (Zamarul) tak rehat sebenarnya,” ujarnya.

Terdahulu Zamarul dimasukkan ke ICU Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran.

Kemudian dia dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Sunway untuk rawatan lanjut dan kini berehat di rumah sebelum menjalani pemeriksaan susulan minggu depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN