BUKIT JALIL : Gagal menahan sebak ketika lagu nyanyiannya Hening Rindu dijulang sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang diadakan di Axiata Arena, malam tadi, kesedihan Marsha Milan terbawa-bawa sehingga ke sidang media selepas malam kemuncak berakhir.
Mengulas mengenai perasaannya ketika itu, Marsha Milan Londoh berkata, keadaan itu disebabkan dirinya terkenang dengan mereka yang sudah tiada dalam hidupnya.
“Sebenarnya, agak risau sebab persiapan saya untuk AJL kali ini tidak sama macam yang sebelum ini. Apabila saya dah berada dalam zon itu pula, saya terlalu menjiwai lagu itu.
“Boleh dikatakan ada banyak pengalaman hidup saya yang berkaitan dengan lagu ini. Jadi Alhamdulillah, ini rezeki dari Allah dan terima kasih juga kepada semua pihak yang bantu untuk persiapan saya kali ini,”katanya.
Marsha berkata demikian semasa ditemui pada sidang media AJL 39 semalam.
Tambah Marsha, kesedihan itu juga berikutan dia teringat kembali fasa kesukarannya membina nama sepanjang tempoh dua dekad berkecimpung dalam dunia seni.
Malah, ketika ditanya sama ada dia menjangkakan kemenangan tersebut, Marsha mengakui terkejut dengan keputusan itu.
“Terus-terang saya tak letak langsung sebarang harapan. Namun jauh di sudut hati saya mestilah terbayang alangkah seronoknya jika dapat gelaran juara itu.
“Lagu Hening Rindu ini saya bangak teringat tentang orang-orang yang saya sayang dan telah pergi dalam hidup saya. Pada masa yang sama, saya melihat kepada situasi-situasi sekarang dan ia jadi satu kesukaran kerana saya benar-benar menjiwai lagu itu.
“Tetapi Alhamdulillah, keluarga, label, rakan-rakan banyak sokong saya. Jadi saya katakan di sini, memang trofi ini sangat bermakna untuk saya sebab 20 tahun mencari nama dan bergelut dalam industri seni ini,”katanya.
Sebelum ini, Marsha pernah menjadi finalis AJL tiga kali berturut-turut menerusi pencalonan lagu Cinta, Darah dan Kembali Terang.