AMPANG : Berbaki cuma empat hari lagi, jualan tiket Konsert Hitam Manis yang bakal berlangsung pada 8 Februari ini bagaimanapun telah laris sekali gus menyuntik senyuman puas buat Datuk Hattan, Black dan Hazama.
Menurut Hattan, ketiga-tiga mereka tidak menyangka jualan tiket dengan harga paling mahal lebih ‘laju’ bergerak dan mendapat sambutan peminat yang nyatanya mahu menikmati kepuasan maksima menerusi persembahan mereka di konsert itu Sabtu ini.
“Alhamdulillah, syukur penjualan tiket untuk konsert Hitam Manis pada harga yang paling mahal begitu cepat terjual, ‘sold out’.
“Setakat ini apa yang saya tahu, berbaki cuma beberapa keping tiket sahaja lagi yang ada jika ada peminat yang ingin hadir menonton konsert kami,”katanya.
Hattan berkata demikian ketika ditemui di sesi latihan konsert yang berlangsung di Studio Royale Blackline di sini, hari ini.
Selain itu, ditanya tentang persiapan, Hattan mengakui berdebar memandangkan ini merupakan konsert pertama melibatkan mereka bertiga.
“Saya gementar juga sebab konsert ini lain sikit berbanding konsert sebelum ini, lagu-lagu yang didendangkan kita semua boleh bernostalgia.
“Kami bertiga ini ada keserasian, memang boleh sekepala. Kami rasa seronok bergandingan bersama apa lagi untuk memberi sebuah persembahan yang menghiburkan kepada penonton,”katanya.
Dalam pada itu, Black pula berkata, dia teruja dapat beraksi dengan penyanyi legenda seperti Hattan menerusi konsert ini.
“Saya rasa ini satu peluang yang sangat baik untuk saya sebagai penyanyi generasi baharu ini. Memang dulu saya pernah sepentas dengannya, tetapi ketika itu suara saya masih tak begitu matang.
“Saya rasa kali ini persembahan dan vokal lebih matang dan saya akan gunakan peluang ini untuk memberikan satu pengalaman persembahan nyanyian terbaik buat peminat dan penonton,”katanya.
Bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), konsert Hitam Manis menggabungkan elemen nostalgia dan rock itu dibawakan secara eksklusif oleh Reacch Events.
Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama dua jam dan akan mempersembahkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet dan gabungan eksklusif antara Hattan, Hazama dan Black.