Terjebak scammer, artis bukannya tidak bijak - Sharifah Shahirah - Utusan Malaysia

Terjebak scammer, artis bukannya tidak bijak – Sharifah Shahirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyampai radio dan selebriti, Sharifah Shahirah, tidak menolak ramai golongan selebriti terjebak dengan syarikat scammer kerana kegagalan mereka untuk memahami kontrak yang ditawarkan.

Sharifah Shahirah, atau Shiera, 51, berkata, golongan artis bukanlah tidak bijak tetapi ada kalanya mereka mudah bersetuju untuk terbabit dalam sesuatu projek atau tawaran kerana adanya pembabitan selebriti lain.

Bagaimanapun jelas Shiera, setakat ini dia belum pernah menerima tawaran ratusan ribu ringgit kerana menganggap dirinya artis kategori atau gred D.

“Alhamdulillah setakat ini saya belum pernah lagi dijerat sindiket penipuan yang mempergunakan artis.

“Artis bukan tidak bijak, memang ada kontrak perlu ditandatangi tapi perincian dalam kontrak ada masanya mengelirukan.

“Mereka akan terus bersetuju dan tidak fikir panjang apabila melihat adanya pembabitan selebriti lain berstatus ‘datuk’ kerana merasakan syarikat itu legit,” katanya.

Shiera berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan keempat Kays Steak & Lobster di Elmina, di sini, hari ini.

Selain itu, Shiera tidak menafikan tawaran lumayan boleh menyebabkam seseorang gelap mata.

Bagaimanapun, katanya, setiap selebriti atau pempengaruh sekali pun perlu menyelidik sekiranya ditawarkan jumlah tidak masuk akal.

Shiera yang bergerak sendiri tanpa pihak pengurusan mengakui risau menjadi mangsa syarikat yang kononnya berprofil tinggi.

Berikutan itu, Shiera berkata dia lebih selesa berurusan dengan ejen yang dilantik pihak syarikat kerana lebih meyakinkan dan segala terma pada kontrak adalah melalui ejen.

“Tawaran yang saya terima kebanyakannya produk makanan keluarga, setakat ini belum pernah lagi saya dilamar syarikat perunding kewangan.

“Siapa tidak mahu tawaran lumayan? Saya akui boleh ‘sesat’ kalau dapat tawaran hampir setengah juta.

“Tapi kalau betul, timbul juga rasa was-was. Bukan apa risau juga dari mana mereka dapat wang sebanyak itu kerana selalunya syarikat besar lagi berkira,” katanya.

Terdahulu beberapa selebriti termasuk ikon tempatan dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.

Ia susulan SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam Ops Sky.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya