KUALA LUMPUR : Menerima hadiah hari lahir berupa sebuah kereta mewah idaman daripada isteri tersayang, Janna Nick, pelakon, Dini Schatzman gagal menahan sebak dan tangisan.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Janna atau nama lengkapnya, Nurul Jannah Muner menghadiahkan sebuah kereta untuk suami tercinta.
“Hari ini saya nak buat kejutan untuk Dini, nak bagi kereta baru. Saya simpan rahsia ini sudah lebih dua minggu.
“Saya tipu konon nak ajak pergi dating.
Dia memang terkejut sangat sebab saya memang tak bagi beli kereta,”katanya.
Dini kemudian dilihat menangis dan memeluk Janna kerana terharu dengan kejutan tersebut.
“Awak tak perlu buat begitu pun. Ini kereta impian saya! Alhamdulillah,”katanya.
Bagaimanapun, Janna dan Dini tidak mendedahkan model kereta baharu tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut tersentuh dan geli hati dengan gelagat pasangan tersebut.
Dalam masa yang sama, mereka turut senang melihat kebahagiaan Janna dan Dini.
Dini dan Janna mendirikan rumah tangga pada 9 Jun 2023 selepas lima tahun menjalinkan hubungan cinta.