BUKIT JALIL : Lagu Hening Rindu mencipta kejutan sekali gus menepis ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39) dalam acara yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Lagu ciptaan Ikhwan Fattana, Wan Saleh itu dibawakan dengan sempurna oleh penyanyi bervokal tinggi, Marsha Milan sekali gus menyaksikannya membawa pulang trofi
dan wang tunai berjumlah RM100,000.
Menyusul di tangga kedua ialah lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini yang menyaksikannya bersama komposer Hael Husaini dan Iqy Hugh membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh lagu Saksama yang dibawakan oleh kumpulan Akim & The Majistreet dan kemenangan itu menyaksikan mereka meraih wang tunai berjumlah RM30,000 serta trofi.
Persembahan Terbaik diraih oleh Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 serta trofi.
Kemenangan itu menyaksikan Aina memenangi kategori itu untuk empat tahun berturut-turut.
Kategori Vokal Terbaik pula dimenangi oleh Ernie Zakri menerusi persembahan memukaunya dengan lagu Aura.
Menerusi kemenangan itu, Ernie membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 serta trofi.
Penjurian telah dikendalikan oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Fauziah Latif, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Datuk Ahmad Izham Omar, Ad Samad, LY, Edrie Hashim, Siti Hajar, dan Edry Abdul Halim sebagai ketua juri.
Terdahulu, pentas AJL39 dibuka dengan persembahan bertenaga daripada Wany Kayrie, Ara Johari, Shiha Zikir dan Noki.
Lebih istimewa, AJL39 juga diserikan dengan kemunculan khas Datuk M Nasir yang membawakan lagu runut bunyi dari filem Ejen Ali The Movie 2 buat pertama kali di atas pentas, Hanya Kamu.
Suntikan vokal ikoniknya digabungkan dengan elemen muzik elektronik yang segar dan bertenaga hasil komposer muda, Azri Yunus, melahirkan sebuah karya yang luar biasa.
AJL 39 juga telah dihoskan oleh Sissy Iman dan Naz Rahman selain Malia Baby serta Fikry Ibrahim yang bertugas di acara karpet merah.