Sumbangan kenderaan, Amaris terharu doa pelajar Maahad Tahfiz termakbul - Utusan Malaysia

Sumbangan kenderaan, Amaris terharu doa pelajar Maahad Tahfiz termakbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Putra Amaris mengakui sangat bersyukur apabila mendapat khabar gembira bahawa seorang individu sudi memberikan sumbangan berupa dua kenderaan jenis Multi-Purpose Vehicle (MPV) untuk kegunaan harian pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat.

Menurut Amaris, sumbangan tersebut sangat bermakna buat pelajar-pelajar di pusat pengajian tersebut yang selama ini hanya bergantung kepada kereta arwah ayah Amaris untuk bergerak ke masjid dan menjalani aktiviti harian.

Jelas Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail, 40, dia tidak menyangka pusat tahfiz terbabit akhirnya memiliki kenderaan rasmi bagi kegunaan harian pelajar.

“Alhamdulillah, rezeki tahun ini cukup baik. Anak-anak tahfiz ini selalu tanya saya bila mereka boleh dapat van untuk ke masjid.

“Selalunya mereka menggunakan kereta arwah ayah saya untuk bergerak ke mana-mana.

“Tak sangka doa kami dimakbulkan apabila kami menerima dua buah MPV daripada seorang anak muda lingkungan 30-an,” katanya.

Amaris berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Program Kongsi Rezeki Infaq Ramadan 2025 #SamaSamaKenyang, Selasa lalu.

Selain itu, kata Amaris, kanak-kanak di pusat tahfiz tersebut telah menggunakan kenderaan itu sejak beberapa bulan lalu dan ia benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

“Kita doakan semoga hamba Allah yang menginfaqkan dua buah kereta ini diberikan rezeki yang luas.

“Saya memang mengenali rapat pemberi ini, orangnya sangat baik. Sebelum ini kami ada mohon bantuan kepadanya.

“Alhamdulillah, mereka sudah menggunakan kereta itu beberapa bulan lalu. Saya gembira melihat mereka tersenyum dan gembira,” ujarnya.

Berkongsi mengenai Program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025, Amaris menjelaskan bahawa misi tahun ini adalah untuk membantu 1,000 golongan asnaf, termasuk anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, penghuni rumah orang tua, dan gelandangan.

“Program ini sebahagian daripada usaha murni kami untuk menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat ini.

“Kongsi Rezeki 2025 Infaq Ramadan mendapat kerjasama daripada jenama SoftRein dan Biofitrah dalam misi mengedarkan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Selain mengumpul dana untuk membina Maahad Tahfiz Misbahul Falah, Keramat, misi tahun ini juga untuk menyalurkan bantuan keperluan asas seperti makanan, peralatan sekolah, lampin pakai buang & susu bernutrisi kepada golongan memerlukan.

Majlis Tahfiz Berselawat bersama 100 anak-anak tahfiz akan turut diadakan bersama Majlis Berbuka Puasa Amal pada 15 Mac 2025 di Warung Pagi Pagi, hasil jualan meja akan disalurkan ke pembangunan tahfiz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya