Kemelut yang melanda kumpulan Iklim tercetus lagi apabila pemain gitar utama, Umarul dan pemain bass, Mohalim disingkirkan daripada kumpulan itu. Walaupun belum menerima sebarang kenyataan rasmi dan bertulis daripada pihak Iklim, namun Umarul sendiri mengesahkan perkara berikut ketika dihubungi sebentar tadi.
“Saya redha dengan apa yang terjadi. Kesnya kecil saja iaitu tentang penyanyi baharu yang dipilih. Mereka minta saya nilaikan dan beri pendapat, namun pendapat saya ditolak mentah-mentah,”
“Penyanyi yang mereka pilih itu tidak sesuai untuk iklim. Dia memang boleh menyanyi tetapi tonenya tidak sesuai untuk bawakan lagu-lagu arwah Saleem. Saya beritahu kita masih punya banyak ruang dan masa untuk cari penyanyi yang sesuai, kita perlu survey lagi,”
“Tetapi mereka tak boleh terima pendapat saya. Mereka nak sangat penyanyi itu kerana handsome dan muda. Bagi saya jika bakat tak kuat tetap tak boleh, perlu jujur dan professional. Tapi mereka lebih rela pilih penyanyi tersebut daripada saya, jadi nak buat macam mana? Mungkin mereka berasa lebih pandai daripada orang lain,” ujarnya.
Sebelum ini pada penghujung tahun 2023, penyanyi kumpulan Positif, Azmani yang menggantikan tempat arwah Saleem juga telah disingkirkan daripada kumpulan Iklim tanpa sebarang alasan kukuh. Tempatnya kemudian digantikan sementara oleh Syafiq Farhain yang merupakan anak arwah Saleem sebelum mereka mencari pengganti.
Bersama Azmani kumpulan Iklim sempat mengeluarkan dua buah single iaitu Mawar Kasturi (2000) dan Cintai Aku (2023) sebelum dia bergerak secara solo.
“Sebelum ini mereka juga tuduh saya bersubahat dengan Syafiq (anak arwah Saleem) ketika buat show tempohari di Singapura. Sedangkan ketika itu Syafiq sendiri hubungi saya secara peribadi, malah kami tak tak guna pun nama iklim, jadi di mana salahnya kalau saya mengiringi persembahan Syafiq yang sekadar menggunakan nama arwah bapanya?
“Sama juga kes yang berlaku kepada Azmani sebelum ini. Bagi saya jika itu kerja luar saya tidak akan libatkan nama Iklim. Tapi saya tak tahulah mereka ini fikir macam mana. Ada sesuatu dari hati perut mereka agaknya, Saya pun bukan nak sangat guna nama Iklim ni,” ujarnya.
Kumpulan Iklim pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanah air apabila setiap album mereka mencecah jualan ratusan ribu unit sehingga menerima pelbagai anugerah berikutan pencapaian yang memberangsangkan. Populariti kumpulan ini juga meluas sehingga ke negara jiran sehinggakan ada lagu-lagu mereka telah dirakam semula dalam versi Indonesia.