KUALA LUMPUR : Pelakon, Zahiril Adzim tidak menolak pernah melalui pengalaman pahit semasa terlibat dalam sebuah set penggambaran drama sekitar lima tahun lalu.
Menurut Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, pengalaman bekerja dengan produksi yang berdepan dengan masalah kewangan itu antara yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar seorang anak seni.
“Saya tak kata semua, tetapi mungkin ada antara pengkarya seni ini pernah berdepan dengan situasi atau pengalaman di mana mereka ‘terjebak’ dengan produksi yang mengalami masalah kewangan. Kadangkala perkara begitu memang tidak dapat dijangkakan.
“Macam saya, masih ingat lima tahun lalu pernah berdepan dengan situasi itu. Nak dijadikan cerita, suatu hari itu ketika berada di set, terasa pelik juga kenapa seharian produksi cuma sediakan makanan berasaskan sardin.
“Sarapan pagi roti dengan sardin, tengah hari lauk sardin, malam pun makan sardin. Peliklah juga sehingga akhirnya ia membuatkan saya bersuara mewakili semua termasuk kru. Iyalah, seharian makan sardin, ada apa-apa masalahkah bukan?”katanya.
Kongsi Zahiril lagi, perkara itu disuarakan bukan kerana memikirkan selera sendiri, tetapi atas dasar kasihan kepada semua pihak terutama kru dan pekerja belakang tabir yang buat kerja berat.
“Selepas menyuarakan hal itu, rupanya pembantu pengarah beritahu yang produksi kata ada masalah kewangan. Itu antara pengalaman saya yang boleh dikatakan agak sukar untuk dilupakanlah,”katanya.
Selain itu, kata Zahiril, sehingga kini drama berkenaan masih belum ditayangkan dan dia tidak mengetahui punca disebalik perkara tersebut.
Bukan itu sahaja, Zahiril berkata dia juga menerima bayaran agak lambat daripada kebiasaannya sehingga membuatkan dia lebih berhati-hati sebelum menandatangani sebarang kontrak agar tidak lagi berdepan situasi sama.
“Setahu saya, drama itu tak keluar dan saya tak tahu kenapa. Bayaran saya memang dapat tapi itu pun selepas bersuara dan ambil masa yang lama daripada biasa,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahiril bakal tampil dengan drama bersiri Alibi terbitan Unifi TV Originals tidak lama lagi.
Selain Zahiril, pelakon lain yang membintangi naskhah berkenaan ialah Hisyam Hamid, Nabila Huda, Nadia Aqilah dan Firdaus Ghufran.