KUALA LUMPUR : Penyanyi bertaraf bintang legenda, Datuk Hattan, 61, percaya bahawa rakan artisnya, Ziana Zain, 57, tidak tahu menahu mengenai isu berhubung beberapa selebriti terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky baru-baru ini.
Meskipun nama Ziana terpalit, kata Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Syukri Shahabudin, dia yakin penyanyi berkenaan tidak menyangka wujud unsur penipuan di dalam syarikat terbabit.
“Saya rasa Siti (panggilan mesranya kepada Ziana) kalau orang tawarkan dia jadi duta atau apa, dia mana tahu benda begitu (scam). Tan akanlah dia nak beriya-iya periksa.
“Dia rasa benda iu logik, dia buatlah. Mana ada kita ada masa nak pergi periksa orang itu ada lesen atau tidak atau sebagainya. Tetapi kita pun boleh agak sahajalah sebab saya pun tak tahu cerita ini sehingga ada yang bertanya,”katanya.
Hattan berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di sesi latihan konsert Hitam Manis yang berlangsung di Studio Royale Blackline, di sini, semalam.
Selain itu, kata Hattan, secara peribadi dia tidak berminat untuk menjalin kerjasama atau terlibat dengan mana-mana syarikat perunding kewangan.
“Kita pun bukan orang ada-ada. Saya ini buat kerja konsert sahaja. Saya suka buat kerja produksi, ini kegemaran saya. Tak kaya tak apa, asalkan saya puas.
“Kalau ada kerja-kerja rebiu produk pun, jenama besar mestilah kena pada harganya. Tetapi saya pula jenis suka tolong peniaga kecil macam produk Industri Kecil Sederhana (IKS).
“Bagi saya ia satu cara untuk saya melakukan kebajikan (CSR). Kita yang ada nama sikit ini, tolonglah mereka, kiranya macam satu khidmat masyarakatlah,”ujarnya.
Ahad lalu, media melaporkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa selebriti yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Difahamkan selebriti yang menjadi duta dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Antara nama selebriti yang dilaporkan terpalit ialah Ziana Zain, Datuk Jalaluddin Hassan dan angkasawan negara, Sheikh Muszaphar.