Jika ada yang berpendapat tugas sebagai penyampai radio mudah, hakikat tersebut disangkal keras oleh Ryan Bakery.
Banyak perkara yang perlu dipelajari selain perlu realistik untuk berkomunikasi agar tidak dianggap ‘syok sendiri’ ketika bersiaran.
Dia yang kini mengendalikan segmen 3 Pagi Era bersama Nabil Ahmad dan Radin sejak awal minggu lalu menyifatkan pengalaman tersebut membuka matanya tentang banyak perkara penting ketika berada di konti.
“Ramai pendengar berpendapat menjadi penyampai radio memang satu kerja yang mudah. Tapi hakikatnya ia bukanlah semudah yang disangka memandangkan banyak perkara yang perlu diambil kira ketika bersiaran.
“Kita selalu menganggap penyampai radio hanya hanya bercakap tetapi apa yang lebih penting adalah keserasian dan bagaimana sesuatu topik perbincangan akan dibahaskan bukan sahaja sesama penyampai tetapi juga dengan pendengar,” kata Ryan.
Meskipun masih terlalu awal untuk menelaah ‘dunia’ baharunya itu, Ryan gembira dapat berinteraksi bersama pendengar yang sentiasa proaktif dalam memberikan idea dan pendapat saat mereka mengulas tentang topik perbincangan harian.
Di situlah penyampai perlu bijak berinteraksi dan melayan emosi pendengar yang ada kalanya mencari tempat untuk meluahkan perasaan.
“Di situlah saya melihat peranan penyampai dalam membawa emosi pendengar untuk bercerita. Nabil dan Radin sudah berpengalaman luas dan tahu bagaimana untuk mengawal keadaan.
“Saya dapat banyak pengalaman dan pelajaran baharu bersama mereka. Mereka pula tidak lokek membantu orang baharu seperti saya,” kata finalis kategori Digital Creator (Hiburan) Tergempak, Gempak Most Wanted Award ini lagi.
Namun apa yang lebih menggembirakan ialah apabila melihatkan maklum balas positif yang ditinggalkan oleh pendengar di media sosial.
Ramai suka dengan kehadiran Ryan dan tidak kurang juga yang terhibur dengan telatahnya ketika mengendalikan segmen yang bermula jam 6 hingga 10 pagi tersebut.
Sebagai orang baharu, pastinya maklum balas berkenaan amat penting kepada bapa kepada seorang cahaya mata itu untuk terus memberikan yang terbaik sepanjang berada di stesen Era.
“Pada peringkat awal memang saya takut memandangkan terpaksa menggantikan tempat Pak Azad yang sedang menunaikan umrah. Takut juga kalau ada perbandingan memandangkan dia sudah berpengaruh dan mempunyai pengikut tersendiri.
“Tapi bila melihatkan respons daripada pendengar, saya lega. Mereka tidak membandingkan dan menerima Ryan Bakery. Itu sudah cukup memberikan kelegaan.
“Mungkin ini adalah rezeki baharu buat saya untuk mengembangkan lagi cabang lain dalam bidang seni,” katanya yang baru sahaja menghantar kedua orang tuanya menunaikan umrah di Tanah Suci minggu lalu.