KUALA LUMPUR : Bagi memeriahkan lagi industri persembahan teater tanah air, Persatuan Bina Seni Budaya (PERSENI) tampil dengan inisiatif penganjuran naskhah Surat Dari Rafah yang telah pun bermula sejak semalam.
Berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa Pustaka (DBP) sehingga esok, pementasan teater ini turut mendapat kerjasama FullStag Artelier dengan sokongan penuh dari Komuniti Dakwah Tarbiah dan Bumi Mikraj.
Menerusi satu kenyataan, wakil PERSENI, Mohd Firdaus Abd Rahim berkata, pementasan itu merupakan antara usaha menjadikan teater sebagai sebuah medium untuk memberi kesedaran kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya berhubung isu Palestine.
“Sejak peristiwa 7 Oktober 2023, Palestine melalui fasa perang berpanjangan akibat serangan berterusan dari regim Zionis. Serangan yang mensasarkan kawasan yang sepatutnya menjadi zon selamat menjadikan isu Perang Palestine- Israel ini bukan lagi isu konflik perebutan wilayah sebaliknya sebuah Genosid.
“Semenjak perang lebih 400 hari itu berlansung, masyarakat dunia mula cakna akan konflik Palestine- Israel ini apabila media sosial mula menyajikan situasi sebenar serangan ketenteraan Israel yang menyasarkan, Hospital, Kem Perlarian dan Kawasan tempat tinggal awam sehingga mengorbankan Wanita, kanak-kanak dan orang tua.
“Serangan terhadap pasukan Paramedik serta sekatan bantuan kemanusiaan juga menjadikan isu ini sebuah isu kemanusiaan yang berterusan. Kami di PERSENI ingin memaparkan keadaan ini kepada umum demi memberi kesedaran melalui pementasan teater ini,”katanya.
Tambah Firdaus, teater juga memaparkan gambaran setelah pengumuman gencatan senjata pada 19 Januari 2025 yang menjadi harapan buat dunia untuk mengembalikan hak asasi rakyat Palestin yang telah di cabul oleh Israel sepanjang serangan sejak 2023 namun keadaan itu ditarik semula oleh pihak mereka.
“Melalui Pementasan ini, pihak produksi bersama pihak penaja mengharapkan sokongan berterusan dari masyarakat untuk terus cakna akan isu ini.
“Konflik kemanusiaan yang berterusan ini tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan. Melalui pementasan ini juga di harapkan dapat memberi gambaran jelas akan garis masa konflik Palestin – Israel yang sudah berlarutan sejak lebih 70 tahun.
“Menggunakan medium pementasan pentas, mengangkat isu kekeluargaan, persahabatan dan Ilmu tanpa Batasan, pementasan ini di harapkan dapat memberi impak positif dalam pembangun pengetahuan masyarakat,”katanya.