Pernah ke wad psikiatri, saya tidak seteruk itu - Zahnita Wilson - Utusan Malaysia

Pernah ke wad psikiatri, saya tidak seteruk itu – Zahnita Wilson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Peragawati serta pelakon, Zahnita Wilson, 40, mendedahkan pernah menyerah diri ke wad psikiatri Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan bantuan mengatasi masalah kemurungan kronik yang dialaminya sekitar 2019.

Menurut Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, hasrat itu bagaimanapun dibatalkan sebaik melihat lebih 50 pesakit yang kelihatan lebih teruk keadaan mereka ketika menunggu giliran untuk bertemu pakar.

“Terus-terang, saya pernah ke wad psikiatri ketika berada pada titik terendah dalam hidup sehingga perlu ditahan di wad berkenaan.

“Tapi apabila sampai di wad itu saya tengok sekeliling ada ramai pesakit lain yang menunggu giliran dan keadaan mereka jauh lebih teruk daripada saya.

“Saya rasa seakan tak patut berada di sana sebab keadaan diri tak seteruk mereka dan kemudian saya pilih untuk berpatah balik ke rumah,” katanya.

Zahnita berkongsi perkara itu ketika ditemui pada mini sidang media bersama Zahnita dan NR Cosmetics di sini, hari ini.

Jelas Zahnita lagi, ketika itu dia berasa hilang arah sehingga perlu berjumpa dengan pakar psikiatri bagi mendapat bantuan.

Tambah Zahnita, selepas pulang ke rumah dia mencari ketenangan dengan mendekatkan diri pada Allah SWT.

“Mungkin kerana saya hilang arah waktu itu. Jadi saya cuba pulihkan semangat dan mencari ketenangan dengan membaca al-Quran dan berdoa pada Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Zahnita suaminya iaitu Abdul Zackery adalah individu membawanya ke wad psikiatri berkenaan bagi membantunya kembali pulih daripada kemurungan.

“Dia (Abdul Zackery) ialah orang yang bawa saya ke wad psikiatri berkenaan. Mungkin ketika itu dia nampak saya memang berada di tahap terendah seperti tak tentu arah.

“Jadi dia cuba untuk cari orang yang boleh bantu saya mungkin,” jelasnya.

Pada 3 Disember 2024, Zahnita nekad
memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang.

Abdul Zackery turut ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan susulan aktres itu mendedahkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Bagaimanapun suami Zahnita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isterinya
itu.

Sebaliknya ketika ditemubual mStar pada Januari lalu, Abdul Zackery mendedahkan dia sebenarnya menjadi mangsa keganasan pelakon berkenaan.

Malah dakwanya, Zahnita setiap tahun meminta cerai daripada sepanjang 20 tabun mereka berkahwin.

Untuk rekod, Zahnita mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery pada 2005.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.

Dalam perkembangan lain, Zahnita dilantik menjadi duta bagi kempen raya 2025 untuk produk NR Cosmetics.

Ini kali pertama NR Cosmetics melantik duta bagi produk mereka selepas lapan tahun beroperasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya