KUALA LUMPUR : Guru seni persembahan, Pengiran Khairul Qayyum, 33, berpendapat, gaya ‘sombong’ perlu ada pada seseorang penyanyi khususnya ketika beraksi di sebuah pentas besar.
Bagaimanapun, kata Pengiran, konotasi itu bukan merujuk kepada sikap yang tidak baik tetapi terarah kepada tindakan atau gaya seseorang penyanyi itu dalam menyampaikan sebuah persembahan yang menyakinkan dan berkualiti di pentas.
“Bukan sombong bermaksud bongkak atau jahat, tidak. Kena pandang dari sudut positif iaitu dari sudut kefahaman seseorang penyanyi itu ketika beraksi di pentas.
“Sombong yang dimaksudkan adalah bagaimana dia perlu tahu apa yang dilakukannya di pentas itu dari setiap sudut kerana ia mesti bersebab. Jangan apabila ditanya, awak tak tahu.
“Pencahayaan, konsep baju apa, pergerakan kamera ada pencahayaan atau tidak awak tidak tahu. Itu membuatkan awak adalah penyanyi yang ‘zero’,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini turut memuji Aina Abdul sebagai seorang penyanyi contoh yang bijak dan memiliki kefahaman tentang seni persembahan pentas.
“Saya beri Aina Abdul sebagai contoh. Bila seseorang itu tahu apa yang dilakukannya, dia nampak ada ilmu. Bila ditanya pasal baju dia tahu apa nak jawab. Ditanya pasal arah tuju persembahan, permainan pentas, semua dia tahu.
“Bila penyanyi itu tahu apa yang dia buat di pentas, orang nak persoalkan pun awak tahu apa nak dijawab. Bermakna dia ada ilmu seni persembahan itu dan tegas dengan apa yang dilakukan,”ujarnya.
Selain itu, kata Pengiran, selama 40 tahun mendedikasikan diri dalam industri seni hiburan, dia berpendapat tidak semua artis atau penyanyi itu memiliki kefahaman tentang kepentingan mempelajari ilmu seni persembahan itu.
Bahkan, katanya, ada penyanyi yang tidak cakna dan menganggap subjek ini tidak penting berbanding memberi lebih penekanan terhadap kelas vokal.
“Boleh dikatakan masih ramai lagi artis di Malaysia ini yang tak cakna. Saya tak cakap semua dan kita boleh ambil contoh penyanyi yang bagus iaitu seperti Hael Husaini, Aina Abdul, Ernie Zakri, Anita Sarawak malah Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Mereka ini menerapkan betapa pentingnya seni persembahan dalam nyanyian mereka. Persembahan ini bukan kerja koreografer untuk bentuk di atas pentas, bukan juga kerja pengarah pentas. Tetapi perlu ada guru seni persembahan untuk berikan penekanan kepada artis tentang perkara ini.
“Guru vokal hanya akan menekankan soal vokal sahaja tetapi macam mana nak sampaikan vokal itu dengan baik? Apa cerita di sebalik lagu? Penyanyi kena fahami.
“Penyanyi kita ada yang leka dan ada yang sedar mengenai hal ini. Yang leka itu saya tengok mereka tiada latar belakang dalam lakonan, tarian dan hanya dengar cakap orang kelilingnya sahaja. Jika tidak perbaiki dan tak raih ilmu, anda ibarat katak di bawah tempurung,”katanya.
Dalam pada itu, Pengiran berkongsi mengenai Bengkel Seni Persembahan 4.0 yang akan dianjurkannya di bawah Performance Class by PKQ dengan kerjasama Sarah Ismail Studio pada 22 Februari ini (esok).
Bengkel ini akan dikendalikannya dan menampilkan persembahan khas oleh Farhan (Akademi Fantasia) pada pukul 8 malam di
Vocal Class by Sarah Ismail,
49-1, Jalan Dwitasik, Dataran Dwitasik,
Bandar Sri Permaisuri.
Bengkel yang bertemakan Express Yourself itu terbuka kepada semua yang berminat dengan bayaran berjumlah RM 60 seorang.
Untuk maklumat lanjut hubungi Amy (010-299 9101).