KUALA LUMPUR : Berang dengan tindakan seorang lelaki didakwa pengarah, penulis skrip terkemuka tanah air, Siti Jasmina Ibrahim,49, mendakwa individu terbabit telah membawa lari sejumlah wang dana suntikan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Tanpa menyebut berapa jumlah sebenar dana itu, Jasmina bagaimanapun mengakui produksi termasuk seluruh tenaga kerja menghadapi kesukaran untuk meneruskan penggambaran filem tersebut.
“Ini projek filem yang telah lama berjalan, dari tahun lepas. Hal ini telah didiamkan lama kerana mahu beri dia peluang. Tetapi ya, dia terus diam. Bukan saja pelakon, tenaga produksi saja yang pernah dianiaya.
“Adik ipar daya yang juga seorang penerbit tutut sedang lalui penganiayaan ini. Lelaki itu mulanya mahu bersama bikin filem, tetapi telah menipu dan membawa lari wang awal produksi filem ini.
“Kononnya dia seorang pengarah selain mendakwa juga penulis skrip. Padahal skripnya teruk. Maaf, saya ini seorang yang teliti format dan telah selalu ditugaskan banyak pihak pusat pendidikan dan pihak produksi.
“Kalau saya kata teruk, maknanya memang teruk sehinggakan skrip itu, Khir Rahman perlu olah dan memperbaiki penceritaannya,”katanya.
Jasmina membuat kenyataan itu menerusi satu hantaran di akaun Instagramnya, semalam.
Selain itu, dakwa Jasmina lagi, ketika dana itu diluluskan dan dimasukkan oleh Finas, individu mengaku pengarah itu telah meminta wang tersebut dikeluarkan atas alasan tertentu.
“Dipendekkan cerita, setelah itu, individu itu hilang begitu sahaja. Tindakannya itu telah menyebabkan kami semua bekerja dan berkarya dalam keadaan yang sangat sempit dan terduga. Katanya filem, tetapi ‘shooting’ macam skala super-tele.
“Laporan polis telah dibuat dan produksi akan dedahkan namanya nanti termasuk mereka yang bersekongkol dengannya,”tegasnya.
Kongsi Jasmina lagi, dia juga berterima kasih kepada penerbit filem berkenaan, AZ serta suaminya, Khir Rahman, yang kemudiannya mengambil alih peranan pengarah asal yang telah membawa lari dana.
“Saya doakan dan hormati kesungguhan AZ dan Khir, seluruh pasukan produksi termasuk pelakon yang sama-sama mahu selesaikan amanah ini yang berkorban jumlah bayaran sebenar mereka dan sudi pula untuk bersama susah bagi tujuan pengkaryaan dan penerbitan filem ini.
“Mohon doakan mereka untuk terus diberi kemudahan siapkan dengan terbaik hasil kerja seni ini dan dibukakan pintu hati lelaki yang menipu duit produksi ini supaya pulangkan duit dan tidak aniaya orang lain pula.
“Anda lari, diam diri, anda lupa doa orang teraniaya tidak ada perantara. Semoga sedar dan pulangkan duit produksi!”katanya.