JAKARTA: Selepas berteka-teki siapakah pelakon yang layak membawakan watak-watak utama dalam filem The Rebirth of Ada Apa Dengan Cinta (AADC), Miles Films tampil mengumumkan lima pelakon terbaik yang menjadi pilihan mereka.
Pengumuman itu dibuat oleh pihak produksi menerusi akaun media sosial mereka semalam.
Menjadi topik perbualan di alam maya, watak utama iaitu Rangga yang sebelum ini dilakonkan oleh Nicolas Saputra kini bakal digalas oleh pelakon muda, El Putra Sarira.
Miles Film juga teruja mengumumkan watak heroin yang pernah mencipta fenomena di kalangan peminat dan penonton filem tersebut iaitu Cinta, kini akan dibawakan oleh Leya Princy.
Naskhah garapan Riri Riza itu akan menyaksikannya bekerjasama dengan Mira Lesmana dan Titien Wattimena.
Filem asal yang diarahkan oleh Rudi Soedjarwo itu turut menampilkan enam lagi karektor sinonim yang mewarnai naskhah cinta tersebut yang popular sekitar 23 tahun lalu.
Dalam video yang dimuat naik di media sosial itu, Rafi Sudirman diperkenalkan sebagai Borne, Daniella Tumiwa sebagai Karmen, Rafly Altama sebagai Mamet, Katyana Mawira sebagai Milly, Kyandra Sembel sebagai Maura, serta Jasmine Nadya sebagai Alya.
Karakter Borne, Mamet, Karmen, Milly, Maura, Alya dalam filem originalnya telah dibawakan oleh Fabian Ricardo, Dennis Adhiswara, Adinia Wirasti, Sissy Priscillia, Titi Kamal dan Ladya Cheryl.
Dalam pada itu, menurut Miles Films, naskhah malar segar itu turut akan diwarnai dengan lagu-lagu hit Melly Goeslaw dan Anto Hoed yang menjadi soundtrack AADC sebelum ini.
Malah, mereka juga akan mengubah lagu untuk muzikal Rangga & Cinta.
Difahamkan filem ini akan ditayangkan pada tahun ini namun belum diumumkan tarikh sebenarnya.