Klon Shah Rukh Khan, Mamuji impi hasilkan runut filem Bollywood

Klon Shah Rukh Khan, Mamuji impi hasilkan runut filem Bollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seringkali menyanyikan lagu-lagu Bollywood khususnya daripada filem lakonan Datuk Shah Rukh Khan, penyanyi, Mamuji, 33, tidak kisah andai ada kalangan peminat dan pendengar menyamakannya dengan aktor terkemuka tersebut.

Menurut Mamuji, meskipun mungkin berdepan dengan kritikan dan kecaman, penyanyi ini mengakui telah lama menjadikan Shah Rukh Khan sebagai idolanya dalam bidang seni.

“Saya dapat gelaran begitu sebab selalu buat live di TikTok dan nyanyikan lagu-lagu hits daripada filem lakonan Shah Rukh Khan. Saya lihat penonton di saluran itu mereka suka tengok cara kita menyampaikan lagu itu dengan lakonan.

“Saya buat macam apa yang mereka suka. Tiru cara Shah Rukh Khan berlakon ketika menyanyi dalam filem dan peminat suka saya buat begitu. Tetapi tak sangkalah ada yang panggil saya Shah Rukh Khan Malaysia,”katanya.

Mamuji berkata demikian ketika ditemui pada sesi busking di Bukit Bintang baru-baru ini sempena mempromosikan Konsert A Lovely Night With Udit Narayan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 26 April depan.

Selain itu, ditanya seandainya ada pihak tidak bersetuju dengan gelaran yang diterimanya itu, Mamuji tidak mudah melenting.

Katanya, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri tambahan pula gelaran itu bukan datang daripada diri, sebaliknya diberikan oleh peminat.

“Tentang apa yang orang fikir atau bercakap, kita tak boleh tutup. Tetapi apa yang pasti, cara penyampaian kita semasa menyanyi itu yang orang suka tengok.

“Saya pun tak kata yang saya ini betul-betul ‘sebiji’ macam Shah Rukh Khan. Mungkin gaya itu adalah dalam lima atau 10 peratus. Bergantung pada mata yang melihat. Lagipun saya menyanyi dan tiru gaya SRK pun, sekadar mahu berseronok sahaja,”katanya.

Kongsi anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, dia juga yakin diri mempunyai identiti sendiri meskipun dikatakan persis Shah Rukh Khan.

“Walaupun ada yang kata saya ini macam aktor Bollywood itu, tetapi saya ini menyanyi dan saya juga berlakon. Itu kelebihan saya. Dari kecil pun memang minat dengan dunia nyanyian malah dipupuk dengan baik oleh ibu dan ayah.

“Walaupun saya suka bawa lagu-lagu Hindustan, tetapi saya juga boleh bawa lagu genre lain. Tengok permintaaan macam mana.

“Pada masa yang sama, saya juga pasang hasrat agar lebih dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu Hindustan. Kalau boleh, bila orang sebut lagu Hindustan saja, orang sebut nama saya sebagai penyanyi Malaysia yang boleh menyanyikan lagu bahasa itu,”katanya.

Dalam pada itu, Mamuji turut mengakui bercita-cita untuk menghasilkan lagu Hindustan yang mungkin boleh dijadikan sebagai lagu runut bunyi untuk mana-mana filem di Bollywood.

“Ini antara misi dan visi saya. Tak salah pun simpan angan-angan, mana tahu untung sabut timbul. Kalau dapat lagu-lagu saya dijadikan sebagai ost filem di Bollywood, itu dikira bonus,”ujarnya.

Sementara itu, berkongsi mengenai penglibatannya sebagai penyanyi jemputan yang bakal membuka tirai konsert Udit Narayan di Pulau Pinang, Mamuji mengakui sukar menyembunyikan keterujaannya.

Menurut bekas peserta program Gimme The Mic 2024 dan All Together Now Malaysia (ANTM) musim kedua ini, peluang itu amat dihargainya kerana Udit juga merupakan idolanya dalam bidang nyanyian.

“Berpeluang menjadi artis pembuka pentas pada konsert tersebut mungkin akan menjadi satu kenangan yang tidak akan saya lupakan.
Udit merupakan penyanyi yang hebat dan SRK juga banyak melakonkan nyanyiannya di dalam filem.

“Rasa macam tak percaya pun ada sebab ini merupakan konsert artis antarabangsa yang menyaksikan penglibatan saya sebaris dengan artis jemputan lain.

“Meskipun sekadar penyanyi jemputan, ia tidak bermakna saya boleh bermain-main. Demi kepuasan penonton dan peminat lagu-lagu Bollywood, saya kena buat sehabis baik,”katanya.

Masih belum membuat keputusan akhir tentang lagu mana yang menjadi pilihannya untuk dibawa ke pentas konsert, Mamuji bagaimanapun memberi jaminan tidak akan menghampakan peminat.

Dalam pada itu, selain Mamuji, konsert tersebut akan menyaksikan pengacara Dee Jangan Ketawa dan penyanyi, Nadya Fharshah, dan Ar Wanz sebagai pembuka tirai acara.

Udit juga akan bergandingan dengan penyanyi tempatan, Siti Nordiana pada konsert tersebut.

Udit Narayan, yang terkenal dengan suara latar aktor Bollywood seperti Shah Rukh Khan dan Amitabh Bachchan, telah menyanyikan lebih 25,000 lagu dalam pelbagai bahasa, termasuk Tamil, Bengali, Telugu, dan Kannada.

Kariernya yang menjangkau lebih tiga dekad telah memperolehnya 22.3 juta pendengar di Spotify, selain pelbagai anugerah muzik.

Peminat-peminat Bollywood di Asia Tenggara pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini secara langsung.

Tiket telah mula dijual sejak 28 Ogos 2024 yang lalu dan boleh didapati melalui ubertickets.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN