Apabila membaca tajuk diatas pastinya ramai tertanya apa istimewanya konsert TRIAD yang bakal berlangsung pada 14 Februari ini? Sedangkan sebelum ini Awie sering sahaja membuat persembahan sama ada bersama Kumpulan Wings, Konsert Romantika, Konsert Solo mahupun bergandingan bersama artis lain di atas satu pentas.
Fakta tersebut ada benarnya, malah jika ada yang mempersoalkan di mana kelainan atau keistimewaannya, jawapannya mudah sahaja…
“ini adalah konsert pertama Awie beraksi di pentas bersama tiga buah kumpulan yang pernah dipimpinnya sebelum ini,”
Wings, Search (Kiddin) dan Dragon Malaya bukanlah nama asing bagi peminat muzik rock di Malaysia. Setiap kumpulan ini punya ‘signature’ tersendiri melalui ‘trademark’ yang dipamerkan. Awie bukan sekadar penyumbang suara tetapi keupayaannya membawa nilai muzik tersebut yang ingin ‘dijual’ kepada pendengar.
‘Bikin Wilayah’, sebuah album kolaborasi Awie bersama kumpulan Search telah mengupas segalanya. Bukan sekadar penyanyi undangan, malah rilisan tersebut mendapat sambutan menggalakkan terutamanya lontaran vokal Awie melalui lagu Nur Nilam Sari, sekaligus menaikkan semula nama Search yang kian tenggelam gara-gara pengunduran penyanyinya Amy.
Begitu juga dengan kumpulan Dragon Malaya yang ditubuhkan pada tahun 1998. Walaupun jarang diberi pendedahan serta publisiti, tetapi mereka adalah watak penting dalam persembahan Awie dalam mengiringi setiap persembahan solonya termasuk projek album Rentap, yang menampilkan lagu-lagu ikonik seperti Kuda Tiga Kaki dan Bumi Kita Ada Naga.
@utusanonline Sesi praktis Awie dan kumpulan Search untuk persediaan Konsert Triad yang bakal berlangsung pada 14 Februari ini di Zepp Kuala Lumpur.
Menurut Awie, TRIAD bukan sekdara persembahan, tetapi adalah tentang penyatuan bunyi, tenaga, jiwa serta semangat rock yang jitu, Satu malam bersejarah yang bakal tercipta untuk memastikan semangat rock terus hidup di jiwa peminat.
Selain itu, TRIAD juga adalah simbol penghormatan kepada generasi rock tanah air yang sentiasa berkembang menyatukan generasi demi generasi. Gandingkan tiga buah kumpulan yang punya pengaruh besar ini diharap dapat mewarnai perjalanan sejarah rock negara.
Konsert ini juga bakal melakar sejarah dalam ‘The Malaysian Book of Records’, apabila seorang penyanyi bakal mengemudi tiga buah kumpulan rock besar di atas satu pentas, sekaligus merupakan pencapaian luar biasa dalam industri muzik Malaysia,
Apa yang dicipta oleh Awie bukanlah sekadar mencari kepuasan mahupun keuntungan, jika itu yang dicari rasanya dia telah memiliki semuanya. Seperti apa yang pernah dikatakannya kepada saya tempohari,…
”Apa yang saya buat ini adalah untuk mengangkat muzik rock ke tahap yang lebih tinggi dan mencipta kejayaan serta pengiktirafan yang besar kepada industri muzik tanah air. Gabungan Wings, Search, dan Dragon Malaya atas satu pentas membawa maksud bahawa semangat muzik rock di Malaysia terus relevan dan hidup, tidak kira usia atau generasi,”
Sebarang pertanyaan untuk tiket konsert boleh layari: https://rpm.ubertickets.asia/.