Kalau jual baju-baju itu ibarat saya tanggung dosa mereka - Nora Danish - Utusan Malaysia

Kalau jual baju-baju itu ibarat saya tanggung dosa mereka – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon , Nora Danish, 42, mendedahkan, semua pakaian seksi yang pernah dimilikinya tidak lagi berada dalam simpanan sebaliknya telah diberikan kepada rakan-rakan bukan beragama Islam.

Menurut Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, dia tidak berhasrat menjual pakaian-pakaian lamanya itu kerana enggan menanggung dosa orang yang membelinya.

“Pakaian-pakaian zaman saya seksi itu semuanya sudah diberikan kepada rakan-rakan saya yang bukan Islam.

“Sebab kalau saya nak jual pakaian itu tidak boleh. Ibaratnya saya akan tanggung dosa mereka yang akan membelinya. Lama dah saya ‘let go’ semua pakaian itu, dah tak simpan lagi.”

Nora berkata demikian ketika ditemui usai majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan ‘Raya Romantics’ di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Selain itu, kata Nora, sejak memakai tudung dan berpenampilan lebih sopan, dia juga dalam usaha memadam semua gambar lama yang tidak menutup aurat di akaun Instagram.

“Saya sebenarnya perlu buang semua gambar tidak menutup aurat di Instagram tetapi mengambil masa kerana jumlah gambar di Instagram ada lebih kurang 26,000.

“Saya baru padam beberapa ribu dan masih ada banyak lagi, saya kena belek satu-satu. Apabila tengok gambar-gambar lama, saya cakap dalam diri ‘apa lah aku buat dulu’.

“Namun itu merupakan proses kehidupan. Kalau tidak lalui fasa-fasa itu, mungkin tidak rasa menyesal seperti sekarang,”ujarnya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai perihal istiqamah, pelakon drama Perang Nasi Dagang dan Langit Ke Tujuh ini mengakui ia satu perkara yang amat mencabar.

Namun, katanya, apa yang sentiasa dilakukan adalah dengan berdoa kepada Allah supaya dirinya berupaya memperbaiki kelemahan diri demi menuju reda-Nya.

“Untuk berhijrah itu senang tapi untuk istiqamah itu tidak mudah. Istiqamah perlu dipandang dari pelbagai sudut termasuk ingin jaga solat awal waktu dan beberapa lain lagi.

“Saya berharap dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk kekalkan rasa sedih, rasa berdosa dalam diri selama-lamanya.

“Kalau tanya saya petua untuk istiqamah, saya tiada jawapan. Tetapi sentiasa berdoa dikelilingi orang yang baik untuk sentiasa mengingatkan saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN