AMPANG: Terkenal begitu ‘menjadi’ dengan watak penunggang agama, pelakon, Azhan Rani bagaimanapun mengakui bosan kerana terlalu sering ditawarkan watak seperti itu.
Menurut Azhan, watak itu mula melekat di hati penonton dan peminat ketika dia membawakan karektor Ustaz Hamadi dalam drama rantaian, Nur sekitar tujuh tahun lalu di bawah arahan
Sutradar terkenal, Shahrulezad Mohameddin.
“Terus terang cakap, saya bosan dengan watak penunggang agama. Selepas drama Nur, terlalu banyak watak sama yang diterima sehingga saya terpaksa tolak dengan baik.
“Saya sudah berjanji pada diri sendiri, tak mahu bawa watak ustaz kerana saya tak mahu watak Ustaz Hamadi terus melekat dengan diri saya sampai bila-bila.
“Jadi, saya mengharapkan watak baharu akan ‘bunuh’ karakter watak Ustaz Hamadi setiap kali dapat tawaran,” katanya.
Azhan berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Unifi TV Originals Ramadan Raya 2025, di sini, semalam.
Selain itu, kata Azhan, gara-gara enggan membawakan watak Hamadi lagi, dia juga pernah menolak tawaran membintangi drama Nur 2 kerana tidak mahu dilihat terlalu ‘klise’.
Bagaimanapun, akui Azhan, dia terpaksa menerimanya juga kerana mahu merealisasikan hasrat peminat dan penonton.
“Saya tak mahu habiskan sisa umur dengan satu watak klise sahaja. Pada usia yang hampir meniti senja saya nak cuba pelbagai watak yang tak pernah dibawakan.
“Saya juga percaya ada banyak lagi watak yang boleh saya terokai. Saya minta pada Shahrulezad untuk cipta karakter baharu, itulah yang lahirnya drama Khunsa dan terbaharu, Seribu Tahun, watak yang semakin lama makin berat dan mencabar.
“Saya okey untuk bawakan watak ustaz, tapi bergantung dari sudut ‘angle’. Kalau isu sama dan klise, saya akan tolak, tapi kalau jalan ceritanya berbeza, saya tiada masalah untuk pertimbangkan,” katanya.
Terbaharu, Azhan bakal muncul dalam drama rantaian di platform penstriman Unifi TV bersama Sharifah Sakinah menerusi drama Wok sempena Ramadan ini.
Azhan berkata, dia sudah bersedia untuk dibenci kerana watak Deris lebih menjijikkan daripada Ustaz Hamadi.
Katanya, Deris bukanlah seorang ustaz, sebaliknya banduan yang ingin berubah, tetapi sering tewas setiap kali nafsu menguasai diri. Bagaimanapun, Azhan memuji Sharifah Sakinah sangat profesional.
“Sakinah paling awal datang ke set dan datang dalam keadaan bersedia dan bersiap dengan baju comot, lusuh serta wajah kusut masai.
“Saya berterima kasih kepada Sakinah kerana tanpa dia, pengarah Eyra Rahman serta pelakon lain, watak Deris tak akan berjaya,” katanya.