Terjun ke bidang politik sejak lima tahun lalu, penyanyi terkemuka Indonesia, Krisdayanti, mengakui ia satu pilihan yang dilakukan dengan hati yang cukup terbuka.
Satu daripada alasan murninya adalah demi membantu masyarakat dengan pengaruh dan populariti yang ada dan itu menjadi antara motivasinya setiap hari saat melangkah ke persada politik.
Bagi penyanyi berusia 50 tahun ini, tugas sebagai seorang ahli politik itu tentunya mempunyai cabaran tersendiri namun ia bukan halangan buatnya dalam menebarkan manfaat kepada semua pihak selagi nyawa masih dikandung badan.
“Politik itu luas. Politik itu mulia kerana kita sebagai warganegera tahu tentang hak dan kewajipan untuk negara. Memang peluang sebagai ahli politik ini telah memberikan saya kesempatan akses untuk dapat lebih membantu banyak orang.
“Walaupun mungkin secara nasionalnya saya tidak mampu membantu semua kerana sabagai anggota parlimen, saya mewakil satu daerah sahaja. Namun ketika saya tidak dapat kembali duduk di parlimen dan berada di posisis Datuk Bandar, ia tidak membuatkan saya kecil hati sedikit pun.
“Kerana itulah politik. Siapa yang berkuasa, siapa yang punya kekuatan di lapangan, itu kita tidak tahu. Apa yang penting kita sudah dedikasi dan setia dengan parti yang membesarkan saya,”katanya.
Bagaimanapun, Kris tidak menolak bahawa perasaan dapat membantu ramai orang khususnya masyarakat setempat itu sangat istimewa baginya sebagai seorang individu yang diamanahkan untuk berkhidmat.
“Ia satu perasaan yang istimewa. Politik itu sejatinya dapat memberikan kemaslahatan buat masyarakat. Maksudnya kalau masyarakat sebelum itu dahulunya melihat saya sekadar seorang penyanyi, tetapi mereka melihat saya juga mampu berdiri sebagai satu saluran aspirasi buat mereka.
“Tetapi harus semua tahu bahawa saya tidak pernah berhenti menjadi anak seni meskipun bergelar ahli politik. Contohnya sebelum ini di waktu siang saya buat kerja-kerja politik, tetapi ada undangan untuk menyanyi pada waktu malam, saya akan buat juga.
“Peranan saya di dunia seni di mata mereka kuat, akhirnya masyarakat juga mengangkat saya ke tahap ini. Namun saya tahu, ia tidak mudah juga kerana saya perlu cermat dan berhati-hati. Tidak boleh buat salah kerana orang melihat saya sebagai seorang ahli politik dan seniman,”ujarnya.
Ditanya adakah dunia politik itu memberi tekanan kepadanya memandangkan bidang itu juga berdepan dengan kecaman, kritikan dan gosip yang mampu menjadi kontroversi, anak kelahiran Batu, Jawa Timur, Indonesia ini mengakui hal itu.
Katanya, jika dibandingkan antara dunia politik dan seni, dunia hiburan lebih dahsyat dari aspek yang dibicarakan.
“Bidang seni dan politik itu berbeza kerana itulah saya harus menjaga kestabilan status itu sendiri. Tentang efisiensi bagaimana kita memberikan saranan-saranan yang baik. Apa yang penting, jika sebagai ahli politik, keutamaan harus kepada pembangunan masyarakat.
“Kalau gosip-gosip atau hal-hal lainnya, saya ini pun sudah 30 tahun dalam bidang seni, boleh dikatakan gosip dunia seni itu lebih kejam. Kalau dalam bidang politik masih boleh berbincang,”katanya.
Bagaimanapun, Kris tidak menolak dalam dunia politik wujud juga sisi ‘kotor’ yang membuatkan orang tidak suka dengan golongan mereka.
“Ia tentang bagaimana anda melihat situasi itu. Ada orang yang melihat sisi itu sedikit sebanyak. Tetapi saya tahu, pasti semua orang mahu berbuat yang terbaik untuk masyarakat dan lingkungannya.
“Tetapi kadangkala, kekuasaan itu membuat orang lupa. Sebab itu saya selalu cakap, duit dan jawatan itu boleh datang dan pergi.
“Jangan pernah kita menaikkan pola hidup kita berlebihan kerana apabila akhirnya ketika kita tidak lagi pegang jawatan, kita tidaklah rasa takut atau kehilangan. Seharusnya kita kerja dengan sehabis baik semasa berada di posisi itu,”katanya.
Konsert di Malaysia
Pun begitu, kata Kris, terjebak ke dalam dunia politik tidak menghalangnya untuk tetap meneruskan bidang seni suara kerana itu juga adalah teras kepada kerjayanya selama ini.
Malah, kata Kris, tiada sebarang larangan untuknya menyanyi kerana itu juga adalah minat dan kerjaya yang dicintainya.
“‘Meskipun politik adalah keutamaan sepanjang tempoh lima tahun itu, saya tidak pernah lupakan dunia nyanyian. Malah tawaran mengadakan konsert juga ada namun saya tak dapat buat kerana faktor masa.
“Semua orang tahu, kalau Kris mahu adakan sebuah konsert besar, tidak mungkin saya buat latihan sekadar satu atau dua kali. Ketika itu saya belum berani menerima begitu sahaja sebarang tawaran untuk buat konsert,”katanya.
Mengakui kali terakhir mengadakan konsert menerusi penganjuran Konsert Romansa Krisdayanti sekitar 2017, penyanyi ini teruja untuk terlibat menjayakan konsert terbaharunya di Kuala Lumpur setelah sekian lama.
Menerusi Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang dibawakan oleh JBProduction, Kris mengakui teruja untuk bertemu dengan peminat-peminat dalam sebuah konsert penuh hangat yang bakal diadakan pada 22 Jun ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Bagi KD, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti sangat istimewa untuk dirinya terus menjalinkan rasa cinta dan kasih sayang yang berputik sejak sekian lama dengan peminat di Malaysia khasnya yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni bintang juara program realiti Asia Bagus 1992 itu.
Malah, dia juga berasa bertuah kerana terus kukuh di hati peminat di negara ini meskipun ramai penyanyi baru dari Indonesia menempa nama di negara ini.
“Saya akan membawa penonton mendengar dan kembali mengingati lagu-lagu yang penuh nostalgia cinta diiringi pemuzik di bawah pengarah Erwin Gutawa.
“Saya akui bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik dan saya berharap terus mendapat sokongan anda semua hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti nanti.
“Saya juga berharap bukan saja peminat daripada Malaysia hadir, malah peminat Indonesia yang berada di negara ini turut sama-sama memberi sokongan,” katanya.
Mempunyai deretan lagu hits yang sentiasa menjadi siulan peminat, malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti pasti bakal menjadi kisah cinta agung dan kenangan terindah antara KD dan para peminatnya.
Penampilan KD baru-baru ini di pentas akhir program realiti Gegar Vaganza 11 juga ternyata mencuri perhatian peminat di Malaysia dengan dirinya yang sentiasa anggun meskipun bakal memasuki usia lima siri pada Mac ini.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket, tempahan boleh dibuat melalui UberTickets. Tiket boleh didapati di UberTickets bermula 23 Februari.