KUALA LUMPUR : Pempengaruh terkenal tanah air, Khairul Amin, mengumumkan bakal berkongsi dan menyediakan sebanyak 60 resipi masakan sepanjang menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.
Menurut Khairul, perkara itu antara yang istimewa yang dilakukannya untuk tahun ini setelah lapan tahun membuat perkongsian mengenai resipi masakan khusus untuk peminat dan pengikutnya di Instagram.
Tambah Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, dia mengambil masa lebih dua bulan untuk menyiapkan bahan kandungan sempena ramadan kali ini.
“Kali ini saya dan team letak usaha yang lebih.
Kita habiskan lebih dua bulan untuk shoot dan edit semua video.
“Tahun ini bukan sahaja 30 resipi tetapi 60 resipi,”jelasnya.
Tidak cuma itu, dalam masa yang sama, Khairul juga memaklumkan bakal memberi tumpuan kepada segmen siaran langsung untuk bazar Ramadan.
Malah, bagi menyuntik keistimewaan lagi, kata pengasas Sambal Nyet itu, dia juga bakal menyajikan segmen baharu iaitu Aming in Oman.
“Dalam masa yang sama, saya mahu fokus pada livestream, jadi kita akan buat banyak live daripada bazar ke bazar untuk memberi sokongan dan tunjuk mana yang menarik di gerai peniaga lokal.
“Selain daripada 30 hari 30 resipi, tahun ini kita nak bawak keistimewaan baru. Kita nak bawak anda jalan jalan di Oman. Kita ada lapan episod ekslusif untuk ditayangkan sepanjang bulan Ramadan,”katanya.