SEHARI lagi sejarah baru filem silat arahan pengarah berbangsa Cina bermula, namum tiba-tiba Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengarahkan filem Strike: Silat Cult Master untuk tidak ditayangkan berikutan isu produksi gagal melunaskan bayaran gaji kru yang sudah tertangguh selama setahun.
Pelakon filem tersebut, Fify Azmi, mengakui kecewa dengan berita itu namun menghormati keputusan Finas dalam membela nasib pekerja belakang tabir di Malaysia.
“Saya kecewa dengan penangguhan filem itu kerana kita semua telah betungkus lumus lakukan pesediaan sebulan awal.
“Tapi saya yakin ini hikmah yang terbaik kerana Finas lebih tahu bagaimana mahu menangani isu ini.
“Lagipula mungkin jalan cerita filem ini tidak boleh diterima oleh masyarakat umum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Walaupun sudah menerima bayaran penuh dua minggu lalu, namun pelakon filem Wira itu turut berasa kecewa kerana produksi gagal memberi layanan sama rata kepada pasukan yang terlibat.
“Kita kerja sama-sama jadi kalau soal gaji, biarlah ia dibayar dengan saksama.
“Tidak adil jika pelakon dapat gaji dulu tapi kru tidak, begitu juga sebaliknya. Kru juga penat buat kerja, berlari ke sana sini.
“Saya kecewa mereka tidak dapat bayaran. Kalau sudah berusaha sama-sama sudah semestinya kita mahu dapat hasil sama-sama,” tambahnya.
Tidak berdiam diri, Fify sudah pernah mengutarakan isu ini kepada pemilik produksi filem ini yang juga pengaran Mallory Lee.
“Semestinya saya pernah hubungi pengarah dan minta k selesaikan isu ini. Walaupun dia seorang pengarah, bukan bermakna kita tidak boleh utarakan pendapat.
“Sepanjang bekerja dalam bidang ini, mungkin ini adalah yang paling bermasalah. Tapi saya tidak serik,” tambahnya.
Ditanya adakah Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) berhasrat mahu meletakkan syarat khas untuk produksi baru, dia ketawa.
“Saya tidaklah mahu letakkan syarat kepada produksi baru, saya hanya ikut syarat seperti dalam kontrak.
“Saya masih mahu bekerja dengan orang yang tidak pernah saya bekerjasama,” jelasnya.
Terdahulu, filem Strike: Silat Cult Master arahan Mallory Lee sepatutnya ditayangkan pada 13 Februari.
Bagaimanapun tayangan ditangguhkan setelah kru melakukan petisyen tidak menerima gaji.