KUALA LUMPUR: Pelakon, Azhan Rani, mendedahkan pernah melalui pengalaman lahit apabila sebuah produksi lambat membuat bayaran kepada pelakon termasuk kru semasa terlibat dalam sebuah penggambaran drama sekitar dua tahun lalu.
Menurut Azhan, dalam usaha mendapatkan wang gaji atau bayarannya, dia sehingga terpaksa bertanya berulang-kali kepada pihak produksi terbabit.
“Kira-kira dua tahu lalu jugalah perkara itu terjadi. Saya masih ingat bagaimana susahnya nak dapatkan bayaran itu, sudah macam ‘mengemis’.
“Akhirnya setelah berusaha dapatkan duit sendiri, mereka langsaikan pembayaran itu. Tetapi lama jugalah. Sepatutnya dapat waktu sambutan Aidilfitri, tetapi dapat semasa Deepavali,”katanya.
Azhan berkata demikian semasa ditemui di Majlis Pelancaran Unifi TV Originals Ramadan Raya 2025, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, kata Azhan, perkara itu menjadi pengajaran untuknya supaya lebih tegas dalam soal bayaran atas khidmat seni lakon yang telah diberikan.
Malah, dia tidak kisah andai ada pihak menuduhnya sombong atau berlagak jika dia bertegas dalam hal tersebut.
“Sebagai pekerja tau pelakon, benda yang saya tak nak tempuh adalah mengemis hak sendiri. Apabila sudah lama berada dalam industri seni ini, saya kena tahu berapa jumlah bayaran, tarikh bayaran, atau ada berapa tambahan hari yang diambil untuk berada di set.
“Tak kisah orang nak cakap saya sombong atau apa. Asalkan tiada masalah berbangkit selepas itu,”katanya.
Disebabkan itu, Azhan juga mengakui dia kini lebih berhati-hati selain bertegas dalam kerja meskipun sedar ruang bekerja itu ramai di kalangan rakan-rakan sendiri.
“Kena buang sifat percaya. Jangan hanya kerana orang itu kita kenal, kawan atau orang yang ada pengaruh maka kita tidak tegas dalam soal ‘hitam putih’.
“Kita pun tak mahu kejadian itu berulang dan memakan diri sendiri,”katanya.