KUALA LUMPUR : Pengacara dan selebriti media sosial, Ain Edruce, 34, mahu bersikap adil dengan suami, Amirul Hafiz Mustaffa, dengan memberikan peluang buatnya untuk menamakan anak kedua mereka yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.
Menurut Ain, ia pasti memberi makna buat mereka berdua memandangkan dari sudut kaca matanya, Amirul sangat gembira apabila mendapat tahu kedua-dua mereka bakal menimang cahaya mata lelaki.
“Kami sudah pun buat pemeriksaan jantina dan InsyaAllah kali ini kami berdua bakal timang anak lelaki. Jadi tugas memberi nama itu saya letakkan pada Amirul sebab nampaknya dia sangat teruja.
“Sekarang ini dia pun sedang mencari-carilah nama apa yang sesuai untuk diberikan kepada anak kedua kami ini. Dah ada senarai, tinggal mahu pilih sahaja,”katanya.
Ain berkata demikian ketika ditemui di majlis Aeon Seloka Raya, Balik Kampung Gosip Raya bertempat di Aeon Style Taman Maluri, semalam.
Selain itu, kongsi Ain, secara peribadi, dia lebih selesa memberi nama dengan satu perkataan sahaja seperti anak sulungnya, iaitu Soraya kerana lebih memudahkan.
“Nama Amirul pun dah panjang, jadi pilih nama yang pendek sahajalah untuk anak.
“Sekarang ini, yang paling gembira adalah Amirul. Saya rasa dia memang sudah lama teringin nak anak lelaki tetapi tidak beritahu saya. Jadi teruja dia itu lain macam.
“Pada awalnya saya rasa (baby) anak perempuan, tetapi lepas tahu jantina anak kali ini adalah lelaki, Amirul memang teruja. Dapatlah kami sepasang anak ya,”katanya.
Dalam pada itu, Ain berkata, selepas bersalin, dia berkemungkinan akan kembali bekerja selepas beberapa bulan berehat.
“Keutamaan saya selepas ada anak memang adalah memberi tumpuan pada mereka dan kerja jadi nombor kedua. Saya nak tunggu anak besar sedikit.
“Saya juga sudah bersedia untuk kurangkan aktiviti seni tetapi itu bukan bermaksud saya akan berhenti. Saya masih aktif di media sosial seperti biasa.
“Sebab sekarang ini pun kita boleh bekerja dengan cara lain bukan contohnya buat rebiu dan sebagainya,”katanya.
Ain sah bergelar isteri kepada Amirul yang juga merupakan seorang usahawan, pada Disember 2019.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Soraya yang kini berusia empat tahun.