Angkat jari tengah, maaf saya betul-betul tak sengaja - Nadeera - Utusan Malaysia

Angkat jari tengah, maaf saya betul-betul tak sengaja – Nadeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi popular, Nadeera, 32, mengakui tidak sengaja menaikkan jari tengah yang kebiasaannya membawa simbol tidak manis sehingga ada kalangan warganet kurang senang dengan tindakannya itu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini berkata, perbuatan itu berlaku secara spontan kerana ketika itu dia sedang memakai kain penutup muka (veil) sambil menyanyi di sebuah acara.

“Saya betul-betul tak sengaja, sebenarnya jari saya nak menahan veil dari muka semasa menyanyi.

“Jadi masa pegang mikrofon itu, saya tak perasan jari tengah terangkat, sepatutnya saya angkat jadi telunjuk.

“Tapi kepala masa itu sudah fokus kepada lagu. Saya minta maaflah kepada yang menyaksikan kejadian itu sehingga ada yang tidak senang melihatnya,” katanya.

Nadeera berkongsi perkara itu selepas selesai rakaman Citra Reka Busana yang berlangsung di Angkasapuri, semalam.

Jelas Nadeera, perbuatan tidak sopan itu merupakan kejadian kali pertama memandangkan selama ini dia berhati-hati dengan tingkah lakunya.

“Itu kali pertama, selama ini saya berhati-hati,”katanya.

Dia yang tenang berdepan dengan segala kata-kata negatif memilih tidak membaca komen di media sosial bagi menjaga kesihatan mental dan emosinya.

Kata Nadeera, dia seorang yang mudah terluka dan cepat terasa apabila membaca komen negatif netizen di media sosial.

“Saya dilarang oleh pengurus dan pasukan saya daripada membaca komen kerana saya mudah beremosi, sangat rapuh dan mudah tersentap.

“Tapi sebagai manusia biasa ada juga saya baca komen sedikit, kalau ternampak benda negatif terus saya tutup media sosial saya,” katanya.

Dalam pada itu, Nadeera berkata keberadaannya dalam industri hanya ingin mencari rezeki halal sebagai seorang penyanyi dan disebabkan itu dia berusaha untuk mengelak tempias kata-kata negatif.

“Tak kisahlah orang nak cakap apa mengenai saya kerana saya hanya mencari rezeki.

“Kita tak boleh nak tutup mulut orang, kita pun tak boleh paksa orang suka dengan kita.

“Terpulang pada mereka, saya hanya beri yang terbaik pada karya saya,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial video Nadeera mengena busana putih menyanyi di sebuah acara sambil jari tengahnya terangkat menjadi bualan netizen.

Sementara itu, rancangan Citra Reka Busana pertunjukkan fesyen yang memberi penghormatan terhadap warisan fesyen Malaysia yang disampaikan dalam bentuk muzikal.

Citra Reka Busana ini bakal bersiaran pada 5 April depan, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2 dan juga boleh ditonton menerusi RTMKlik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya