KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan mengakui sukar menahan rasa sedih dan sayu atas pemergian anak saudaranya, Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees Mohammad Zaquan yang berusia 6 bulan, petang tadi.
Menurut Rozita atau lebih mesra dipanggil sebagai Che Ta, anak bongsu dari tujuh beradik itu meninggal dunia dalam tidur, kira-kira jam 1 tengahari tadi.
“Aisy Al Rees meninggal dunia dalam tidur, bila lihat arwah sudah tak sedar, Ayu Raudhah segera hubungi ambulans.
“Jenazah dibawa ke Hospital Rembau dan harap urusan pengebumian dapat diselesaikan malam ini,” katanya.
Jelas Che Ta lagi, hari ini Aisy Al Rees berusia 6 bulan 9 hari dan mereka sekeluarga sangat terasa dengan pemergian mengejut bayi berkenaan memandangkan bayi itu juga tidak menunjukkan simptom sakit mahupun demam.
“Memang kami terasa dengan pemergiannya kerana Aisy bayi yang sangat baik.
“Kami sangat rapat kerana Ayu dan anak-anaknya sering datang bermalam di rumah saya.
“Boleh dikatakan setiap minggu mereka akan datang tidur di rumah, jadi anak-anak saudara memang rapat dengan saya,” katanya.
Terdahulu, berita pemergian Aisy Al Rees dikongsi bapanya yang juga pemain bola sepak Zaquan Adha menerusi Instagram Story.
Aisy Al Rees dilahirkan pada 2 Ogos lalu. Selain Aisy Al Rees, Ayu dan Zaquan dikurniakan enam lagi cahaya mata, Muhammad Aisy Qaiser, 11; Muhammad Aisy Aryann, 10: Laura Zuleykha, 7; Muhammad Aisy Khaliq, 5; Muhammad Aisy Al Jibreel, 2, dan anak keenam berusia setahun.