BUKIT JALIL: Penyanyi, Aina Abdul, mengakui berdepan tekanan setiap kali bergelar finalis Anugerah Juara Lagu (AJL).
Menurut Aina, perasaan itu bukan kerana terlalu memikirkan soal kemenangan tetapi disebabkan sering dibanding-bandingkan dengan peserta lain terutama Ernie Zakri.
“Kadang-kadang saya tertanya, apa lagu yang tidak cukup dalam hidup ini. Tak akan pernah cukup kemahuan kita bukan?
“Allah bagi saya dapat raih Persembahan Terbaik ini sekali gus membuatkan saya rasa mungkin ini sudah cukup.
“Maksudnya kita lihat nabti bagaimana. Tetapi saya punya fokus sekarang ini saya nak cuba buat luar daripada AJL ini. Mahu terokai lagi,”katanya.
Ditanya sama ada dia mahu berehat seketika atau bersara daripada menyertai pertandingan itu, Aina tidak memberikan jawapan yang jelas .
“Buat masa ini, buat masa ini saya rasa kena ubah fokus saya untuk benda yang lebih menjamin untuk diri sendiri terutama untuk minda saya.
“Saya fikir, Ernie pun sama, dapat rasa yang sama macam saya. AJL ini orang akan nampak seolah-olah oh Ernie lawan Aina atau Aina lawan dia.
“Perkara ini sangat-sangat memberi tekanan kepada mental saya. Terus-terang saya tak tahu bila ia (isu perbandingan) ini akan berhenti,”katanya.
Terdahulu, Aina dan Ernie sering dibandingkan dan dikaitkan sebagai musuh tradisi setiap kali kedua-dua mereka bertanding dalam AJL.