KUALA LUMPUR : Selebriti dan Pempengaruh terkenal, Aisar Khaled, 25, menaruh keyakinan menerusi pengaruh dan populariti yang diraihnya, ia dapat dijadikan sebagai ‘senjata’ untuk dirinya membantu mempromosikan baju Melayu di negara seberang.
Menurut Aisar yang juga duta Elrah Exclusive, baju kebangsaan itu diyakini mempunyai keunikan dan kesenian imej tersendiri dan disebabkan itu dia berharap ia mendapat sambutan di negara berkenaan.
“Apabila dilantik sebagai duta, saya ambil peluang ini untuk gunakan pengaruh yang ada di Indonesia untuk promosikan baju kebangsaan Malaysia di sana.
“Lagi pula, Elrah sudah cukup dikenali di Malaysia dan diterima baik, jadi ini peluang untuk kembangkan dan lebarkan sayap pula ke Indonesia. Saya pun semakin terkenal di Indonesia.
“Masyarakat Indonesia setiap kali Syawal mereka lebih gemar pakai jubah dan kurta, pemakaian baju Melayu tiada. Jadi, saya nak cuba bawa nama Malaysia dan dalam masa sama bawa budaya negara ke negara jiran,”katanya dalam satu kenyataan.
Menganggarkan memiliki seramai 10 juta pengikut dari Indonesia, Aisar bagaimanapun mengakui tidak mudah memikul satu tanggungjawab besar sebagai figura awam yang membawa nama Malaysia.
“Saya akui ada sedikit tekanan untuk bawa nama Malaysia dan promosi baju Melayu di sana, kerana sebagai figura awam saya perlu tunjukkan contoh yang baik.
“Saya perlu menjaga karekter dan imej saya, itu adalah tanggungjawab yang besar untuk digalas,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai pemilihan sebagai duta Elrah Exclusive, Aisar meluahkan rasa gembira.
“Jujur saya katakan, banyak brand yang tawarkan kepada saya, namun saya pilih Elrah. Kenapa? Sebab Elrah ada satu nilai tersendiri yang saya nampak. Bukan soal bayaran, itu nombor dua.
“Kalau nak tahu, dulu ketika usia 18 tahun, saya merupakan ejen untuk jenama ini. Alhamdulillah sekarang dipilih jadi duta. Semua itu rezeki dari Allah,”katanya.