PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yunalis Zarai, tidak dapat menahan sebak ketika menyanyikan lagu ‘All I Do’ di showcase Yuna Etherealis pada Sabtu.
Setiap kali menyanyikan lagu itu, Yuna akan teringat kenangan bersama sepupu rapatnya, Amy atau Amilya Saila Aminoddin yang telah menghembuskan nafas terakhir pada 2021 akibat Covid-19.
“Semasa menulis lagu All I Do, memang bedasarkan pengalaman patah hati. Tapi hari ini, setiap kali menyanyikan lagu itu di panggung, mesti fikiran saya akan teringat arwah sepupu saya iaitu Amy. Saya akan mula menangis.
“Saya sangat rapat dengan keluarga. Saya membesar dengan Amy sejak bayi lagi. Setiap kali saya buat showcase begini dia mesti ada. Dia macam ada di sana dan di sini.
“Sejak arwah pergi, semuanya tidak lagi sama. Suami saya juga kehilangan abangnya, Ashraf Sinclair dan kami berdua melalui episod kehilangan bersama-sama,” katanya.
Yuna ditemui Utusan Malaysia sejurus showcase Yuna Etherealis yang berlangsung selama dua hari iaitu 15 dan 16 Februari di Petaling Jaya Performance Arts Center, pada Sabtu.
Tambahnya, peminat yang mengikuti perkembangan Yuna sejak awal pasti mengenali sosok Amy. Dia merupakan
tulang belakang yang membentuk kerja seorang Yuna hari ini.
“Sepanjang hayatnya, Amy memainkan peranan penting dalam kerjaya saya.
“Amy ada keistimewaan mudah untuk buat orang rasa selesa. Kalau dia ada di sesuatu ruang, keadaan akan bertukar ceria.
“Kadang bila saya tidak sempat bertemu peminat, Amy akan tolong saya sapa dan jumpa peminat.
“Apabila Amy meninggal dunia, peminat saya juga berduka cita,” jelasnya.
Penyanyi Crush itu mengakui sukar memilih 24 lagu terbaik daripada 120 katalog lagu yang pernah dihasilkan. Dia kemudian memilih lagu terbaik daripada setiap album.
“Perancangan awal mahu buat showcase konsep ‘raw’ iaitu hanya ada saya bernyanyi dengan gitar akustik. Pilihan kedua bermain dengan kreativiti tapi pentas tidak boleh terlalu luas.
“PJPAC tempat yang tepat membolehkan kami beresperimen dengan permainan lampu dan pancaran laser.
“Saya dapat dengan orang jerit ‘woah’ bila lihat lampu. Saya sendiri pun macam tidak percaya hasilnya sebegini hebat dan saya ucapkan syabas untuk produksi SSD,” katanya.
Terdahulu, menerusi showcase Etherealis bertemakan magikal Yuna menyanyikan lagu popularnya seperti Cinta Sempurna, Crush, Deeper Conversation, Terukir Di Bintang termasuklah lagu dari mini album terbaharu, Wasting Away.
Turut hadir di showcase selama 90 minit di hari pertama ialah selebriti, Daiyan Trisha, Yaya Zahir dan Ceddy Ang.