Yassin di mana? Mungkin dia tengah banyak duit sedang relaks sahaja - Wahid Senario - Utusan Malaysia

Yassin di mana? Mungkin dia tengah banyak duit sedang relaks sahaja – Wahid Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seakan mengelak daripada membuka mulut mengenai keadaan Yassin Yahya, anggota kumpulan Senario, Wahid, 49, mengakui tidak tahu menahu berhubung keberadaan rakannya itu kini.

Kata Wahid atau nama sebenarnya Abdul Wahid Mohamad, ia termasuk mengenai desas desus bahawa Yassin terpalit dengan dakwaan berhubung seorang pelawak ditahan di Jeddah, Arab Saudi, atas kesalahan dadah baru-baru ini.

“Maaf, tak boleh cakap begitu (tuduhan mengenai Yassin) sebab kami sendiri pun tak cakap begitu. Saya sendiri pun tak tahu apa-apa. Takut nak cakap benda yang bukan-bukan sebab kita sendiri tak tahu apa cerita sebenar.

“Saya pula menetap di Ipoh, Perak manakala yang lain di Kuala Lumpur (KL). Bila orang beritahu suruh datang KL, saya datang sebab ada ‘job’.

“Kami ini memang tak tahu apa-apa pasal Yassin. Mana tahu sebenarnya dia tengah banyak duit maka dia pun tengah duduk relaks? Sebab itu dia senyap sahaja. Kita pula orang ajak ‘show’ kita pergi,”katanya.

Wahid berkata demikian semasa ditemui di Majlis Pengumuman 10 Duta Kempen Raya Mendonia Jakel di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Senario diumumkan sebagai antara 10 selebriti terpilih sebagai duta Jakel sekali gus menyaksikan mereka sebaris dengan Fattah Amin, Amira Othman, Anzalna, Elly Mazlein serta ramai lagi.

Selain itu, kongsi Wahid berhubung Yassin, dia dan anggota Senario lain tidak masuk campur mengenai hal peribadi masing-masing dan ‘formula’ itu telah selesa digunakan sejak dari dahulu.

“Daripada awal pun saya tak tahu dia di mana. Memanglah kami ada grup Whatsapp, tetapi ia cuma berurusan mengenai kerja sahaja. Senario memang dari dulu begini, itulah keistimewaan kami.

“Dari dulu kami tidak pernah terasa hati. Kami ini, habis kerja sahaja masing-masing dengan dunia masing-masing. Jadi bila kita ini kerja sekali, melepak sekali, itu yang jadi masalah.

“Jadi, sesiapa yang nak tubuhkan kumpulan, buatlah macam itu ya. Habis kerja balik, sakit baru pergi jenguk,”katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja namun tidak mendedahkan identitinya.

Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu. Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November lalu.

Sumber dilapor berkata, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya